Caj Sewa, Khidmat Tolak Kerusi Roda Di Masjidil Haram Naik Mendadak


MEKAH – Tindakan penolak kerusi roda di Masjidilharam menaikkan kadar caj sewa dan perkhidmatan sehingga 2.7 kali ganda sepanjang Ramadan ini me­ngundang keluhan daripada jemaah yang sedang mengerjakan ibadat umrah pada ketika ini.

Menurut jemaah umrah kepada akhbar Al-Madina yang dipetik portal Saudi Gazette, caj yang dikenakan penolak kerusi roda itu terlalu tinggi.

“Bermula Ramadan ini, mereka menaikkan caj sewa dan per­khid­matan kepada 200 riyal (RM227) walaupun pihak berkuasa mene­tapkan caj tersebut pada 75 riyal (RM85),” kata seorang jemaah yang tidak mahu namanya didedahkan.

Sehubungan itu jemaah menggesa Presiden Hal-Ehwal Dua Mas­jid Suci supaya campur ta­ngan dan mengawal kenaikan harga terbabit termasuk memantau penyedia perkhidmatan tersebut yang didapati mengambil kesempatan ke atas jemaah.

Rungutan sama dibuat Fahd Al-Saedi yang mengerjakan umrah di Masjidilharam minggu lalu.

Ujarnya, dia mahu menggunakan perkhidmatan kerusi roda bagi membantu ibunya yang uzur mengerjakan ibadat umrah tanpa mengalami sebarang kesukaran.

“Apa yang mengejutkan saya, pemilik kerusi roda itu meminta saya membayar sewa sebanyak 200 riyal (RM227) bagi mengerjakan saie,” katanya.

Tambah mengejutkan Fahd, penolak kerusi roda itu turut menunjukkan kad permit menolak kerudi roda pada dadanya selain lelaki itu turut memakai jaket kelabu.

Katanya, ketika kejadian sedang masuk waktu isyak dan dia tidak menemui sebarang petugas keselamatan untuk mengemukakan aduan.

“Tambah menyedihkan, sema­sa saya menghampiri penolak ke­rusi roda lain, dia turut mengenakan kadar sewa yang sama,” katanya.

Fahd kemudian menemukan seorang penolak kerusi roda yang tidak mempamerkan sebarang kad dan menggunakan perkhid­matannya selepas ditawarkan kadar sewa sebanyak 120 riyal (RM136) sahaja.

Sementara itu, seorang pegawai kanan Presiden Hal-Ehwal Dua Masjid Suci mengecam perbuatan tidak bermoral penolak kerusi roda terbabit mengenakan harga terlalu tinggi dan menya­makan mereka sebagai tentera upahan yang tidak mempunyai lesen untuk meneruskan perkhid­matan tersebut.

Beliau turut menggesa jemaah supaya hanya berurusan dengan penolak kerusi roda yang mema­kai lencana rasmi dan mempunyai nombor pada dada mereka.

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com