Cadangan Kenakan GST Terhadap 60 Barangan Diumum BATAL


ALOR SETAR - Pihak Kerajaan hari ini telah bertindak membatalkan pewartaan untuk mengenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ke atas lebih 60 barangan makanan yang dilaporkan media sebelum ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM),  Datuk Subromaniam Tholasy dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas satu perbincangan dengan Kementerian Kewangan.

Menurutnya, laporan media itu berdasarkan Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No.2) 2017 yang diwartakan pihaknya pada 6 Jun lalu.

“Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah merujuk perkara ini dengan Kementerian Kewangan untuk maklumbalas dan telah membuat keputusan supaya P.U. (A) 162 Perintah Cukai Barang Dan Perkhidmatan (Pembekalan Berkadar Sifar) (Pindaan) (No. 2) 2017 dibatalkan,” kata Subromaniam dalam kenyataan kepada media.


Sebelum ini, akhbar China Press memetik Subromaniam sebagai berkata lebih daripada 60 barang makanan akan dikenakan GST, termasuk beberapa jenis makanan laut, sayur-sayuran, buah-buahan, teh, kopi, rempah dan mi, mulai Julai 1.

Makanan laut tersebut adalah termasuk belut dan ikan todak, manakala buah-buahan diimport seperti avokado, buah ara, anggur, buah pic, ceri dan beri akan dikenakan 6% cukai.

Selain itu, di bawah kategori sayur-sayuran pula, laporan itu juga menyebut kentang, kacang panjang, kacang, bayam dan jagung manis akan mula dikenakan GST.

Kerajaan memperkenalkan GST 6% ke atas barangan dan perkhidmatan pada April 2015.

Ketika membentangkan Bajet 2015 pada Oktober 2014, Datuk Seri Najib Razak membutirkan beberapa barang makanan yang dikecualikan GST yang rata-ratanya dilihat mampu memberi manfaat kepada golongan berpendapatan rendah.

Namun begitu, difahamkan wujud unsur manipulasi di kalangan para pembekal, pemborong dan peniaga yang menguasai pasaran domestik yang menyebabkan harga barangan yang sepatutnya turun lebih rendah sengaja dikekalkan atau dinaikkan dengan alasan "GST".

Bagaimanapun pihak kerajaan tidak dapat mengambil sebarang tindakan terhadap manipulasi tersebut memandangkan ia kebanyakkannya melibatkan barangan bukan keperluan asas yang harganya dikawal oleh kehendak pasaran dan permintaan. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com