Cabaran Malaysia Berakhir Di Terbuka Indonesia


CABARAN Malaysia pada Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Indonesia berakhir selepas pasangan beregu tunggal negara, Chan Peng Soon-Peck Yen Wei tumpas di separuh akhir pada aksi yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta, pada Ahad.

Pasangan beregu campuran bukan pilihan itu tewas kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia; 13-21 dan 14-21 pada perlawanan yang berlangsung selama 39 minit, demikian menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.com.

Tontowi-Liliyana, pilihan keenam kejohanan akan berdepan pilihan utama, Zheng Siwei-Chen Qingchen pada perlawanan akhir, esok, selepas pasangan dari China itu mengalahkan rakan senegara, Liu Yuchen-Tang Jinhua; 21-10, 21-23 dan 21-16 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Cabaran Malaysia dalam empat lagi kategori - perseorangan dan beregu lelaki serta perseorangan dan beregu wanita - berakhir di pusingan awal selepas kesemua pemain negara tumpas kepada lawan masing-masing.

Kejohanan tahunan itu menawarkan hadiah keseluruhan US$1,000,000 (RM4.278 juta). - Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com