Bukan Beras Plastik Seperti Didakwa -KPDNKK

 Image result for Bukan Beras Plastik Seperti Didakwa 

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Johor menafikan dakwaan terdapat beras tiruan di pasaran negeri ini seperti yang didakwa seorang pengguna di Kulai yang tular di media sosial baru-baru ini.

Dakwaan itu merujuk kepada seorang lelaki yang membeli beras jenis Beras Wangi Siam lima kilogram jenama Tesco disyaki beras plastik pada harga RM21.85.

Pengarah KPDNKK Johor, Khairul Anuar Bachok berkata, dakwaan itu menimbulkan pelbagai reaksi serta keresahan dalam kalangan masyarakat negeri ini selepas tular pada 6 Jun.

“Susulan daripada itu, pihak kami menjalankan siasatan pada 7 Jun lalu ke atas pasar raya besar terkemuka, Tesco Kulai dan merakam percakapan pengurus cawangan dan penjaga stor, memperoleh maklumat serta dokumen berkaitan punca beras itu dibungkus selain sampel beras jenama sama diambil untuk dianalisis," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di pejabat KPDNKK di Johor Bahru, semalam.

Turut hadir Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK Johor, Aris Mamat.

Menurutnya, hasil daripada laporan yang diperoleh daripada Jabatan Kimia mendapati sampel beras yang dihantar itu adalah beras asli dan bukannya beras plastik seperti yang didakwa.

"KPDNKK menolak dakwaan bahawa wujud beras plastik di pasaran negeri ini sekaligus pengguna tidak perlu resah terhadap beras yang disyaki diperbuat daripada plastik," katanya.

Sebelum ini tular media sosial apabila seorang lelaki membuat laporan polis selepas mendapati beras yang dibelinya sukar untuk dikunyah berbau plastik apabila dibakar.

KPDNKK turut menerima satu aduan berkenaan dakwaan sama di Pontian pada April lalu.

Sumber: Harian Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com