Buffon Hampir Pasti Bersara


TURIN - Legenda Juventus, Gianluigi Buffon mengesahkan, dia ‘99.9 peratus’ bakal bersara daripada bola sepak profesional selepas tamat musim depan.

Penjaga gol veteran Itali itu membantu Juventus merangkul kejuaraan domestik berganda buat tahun ketiga berturut-turut, selain membawa kelab Turin tersebut melayakkan diri ke final Liga Juara-Juara, musim ini.

Buffon, 39, sebelum ini menyatakan hasratnya untuk bersara daripada bola sepak antarabangsa selepas tamat Piala Dunia 2018 di Rusia, dan mengulangi kenyataan tersebut hari ini.

“Saya 99.9 peratus akan bersara.

“Saya mahu mengharungi satu lagi musim yang penuh ketegangan, detik-detik hebat dan kemudian ia sudah cukup. Masanya sudah tiba untuk pergi,” kata Buffon kepada Sky Sport 24.

Kekalahan kepada Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara pada 3 Jun lalu mengecewakan Buffon, namun bekas penjaga gol Parma itu menegaskan, dia akan cuba berjuang memburu gelaran dalam penampilan terakhir, musim depan.

“Kami ditinggalkan bersama satu kemungkinan kecil oleh Presiden Juventus (Andrea Agnelli).

“Jika kami berjaya memenangi Liga Juara-Juara, saya akan terus bermain untuk setahun lagi dan cuba memenangi Piala Dunia Kelab atau trofi lain,” kata Buffon lagi.

Walaupun masih gagal menjulang kejuaraan Eropah sepanjang kariernya yang gemilang, Buffon bagaimanapun telah memiliki lapan gelaran Serie A dan empat Coppa Italia, selain Piala UEFA 1999-1999 serta Piala Dunia 2006 bersama Itali. - AGENSI

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com