BSN Bawa Pulang Lagi Pelajar Perubatan Di India Sambut Lebaran


KUALA KRAI – Bank Simpanan Nasional (BSN) semalam melengkapkan kejutan Kempen Riuhkan Raya BSN apabila membawa pulang seorang pelajar bagi menyambut Aidilfitri bersama keluarganya di Kampung Jalan Geale di sini.

Pengarah Perniagaan Negeri BSN Kelantan Komarudin Mustapha berkata kejutan terakhir dalam kempen tersebut dilakukan kepada keluarga Hafizah Che Ahmad, 24, yang merupakan penuntut tahun akhir jurusan perubatan Universiti Perubatan Antarabangsa, Bangalore, India.

“Pelajar tersebut merupakan antara tiga pelajar yang terpilih mendapat tajaan tiket penerbangan pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri khas daripada BSN,” katanya kepada pemberita ketika membawa keluarga tersebut membeli-belah di sebuah pasar raya di sini, semalam.

Komarudin berkata program berkenaan merupakan satu daripada aktiviti di bawah tanggungjawab sosial korporatnya yang menjurus kepada ikatan silaturahim sesama anggota keluarga.

Beliau berkata sebelum ini pihaknya turut membawa pulang dua pelajar yang melanjutkan pengajian di Jepun dan Mesir.

Sementara itu, ibu Hafizah, Azizah Husain, 58, berkata beliau terkejut apabila anak ketujuh daripada 10 beradik itu muncul di hadapan matanya pada Jumaat lepas selepas dua tahun tidak pulang beraya.

“Memang setiap kali Ramadan dan menjelang Syawal, wajahnya sentiasa terbayang di mata, tak sangka tahun ini Hafizah pulang beraya di kampung,” katanya.

Sementara itu, Hafizah berkata beliau sentiasa merindui keluarga terutama setiap kali Syawal menjelma namun tidak dapat pulang ke kampung kerana kekangan kewangan.

Katanya kali terakhir beliau menyambut lebaran bersama keluarga adalah tiga tahun lepas sejak mula melanjutkan pelajaran di India pada 2012. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com