Bazar Ramadan Bagai "Syurga Makanan"


PULAU PINANG - Setiap kali tibanya bulan Ramadan, umat Islam akan berlumba-lumba melaksanakan kebaikan kerana dalam amalan itu menjanjikan keberkatan, hikmah dan pahala berlipat kali ganda.

Bulan ini juga dianggap sebagai lambang penyatuan umat Islam kerana selepas menjalani ibadat puasa sepanjang hari, mereka berkumpul di masjid bagi mendirikan solat sunat tarawih yang tidak dilaksanakan pada bulan lain.

Di sebalik keindahan dan kesuciannya, tidak terkecuali juga peniaga yang mengambil peluang berniaga di bazar Ramadan bagi menyediakan pelbagai juadah berbuka puasa.

Manfaat itu bukan sahaja dapat dirasai umat Islam malah penganut agama lain di negara ini, berpeluang berkunjung ke bazar untuk membeli pelbagai jenis makanan, kuih-muih tradisional serta minuman bermacam-macam rasa dan warna.

Di Pulau Pinang, orang ramai boleh berkunjung ke 42 tapak bazar Ramadan yang 17 daripadanya terletak di bahagian pulau termasuk di Bayan Baru bersebelahan Masjid Umar Ibnu Al-Khatabb, Bayan Lepas di sini.

Bazar yang boleh dikatakan ‘syurga makanan’ itu mula beroperasi kira-kira pukul 3 petang sehingga waktu berbuka puasa dengan menawarkan ratusan makanan yang disediakan hampir 100 penjaja.

Bazar Ramadan di Bayan Lepas ini juga dikatakan antara yang terbesar di negeri ini dan dibuka setiap tahun sejak lebih 20 tahun lalu sekali gus menjadi pilihan utama penduduk negeri ini khususnya yang menetap di bahagian pulau.

Antara makanan yang dijual ialah ayam golek, martabak, satey, ayam percik, pelbagai jenis ayam goreng, kuih-muih dan bermacam-macam jenis air pada harga berpatutan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sini mendapati, kawasan strategik itu bukan sahaja mudah dikunjungi penduduk malah membolehkan pekerja beberapa kilang dan pasar raya di kawasan sekitar mendapatkan juadah berbuka puasa.

Menariknya, pada tinjauan terbabit turut menemukan seorang peniaga yang menjual makanan tradisional masyarakat Jawa dari Johor iaitu nasi ambang.

Nasi ambang yang dijual pada harga antara RM5 dan RM8 me­rupakan juadah popular mempunyai pelbagai lauk seperti ayam, ikan masak kicap atau sambal, sayur, serunding dan sambal goreng yang dimakan bersama mi goreng.

Penjual makanan berkenaan, Hazril Hafiz Omar, 35, berkata, dia mendapat idea menjual nasi ambang selepas mendapati makanan itu masih belum popular dalam kalangan rakyat negeri ini.

Dia yang turut menjual lontong darat iaitu satu lagi makanan tradisional masyarakat Jawa berkata, percubaan kali pertamanya berniaga di bazar berkenaan dengan menampilkan menu unik itu membuahkan hasil.

“Alhamdulillah, semua menu yang dijual sejak hari pertama Ramadan semuanya habis terjual dan keadaan ini sangat mengujakan saya,” katanya yang ditemui bersama dua lagi pembantunya di gerainya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pe­ngunjung, Muhamad Farid Maharudin, 30, berkata, dia sering berkunjung ke Bazar Ramadan Bayan Baru kerana kediamannya berhampiran lokasi bazar itu selain mudah membuat pilihan makanan.

“Sebagai orang bujang, memang tidak fikir hendak masak apa, jadi saya ke bazar Ramadan ini kerana banyak makanan.

“Tidak perlu bersesak dengan orang ramai kerana ruang antara gerai dan pejalan kaki sangat selesa,” kata pemuda dari Marang, Terengganu itu.

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com