Barang Hantaran Kahwin, Baju Raya Musnah Dalam Kebakaran


KLANG - "Barang hadiah untuk majlis kahwin, barang hantaran dan baju raya yang saya sudah beli lebih RM5,000 untuk keluarga di Kedah habis dijilat api.

"Dokumen untuk urusan kahwin yang saya simpan dalam kereta juga habis terbakar. Tak tahulah sekarang macam mana, kena pergi buat balik semuanya," keluh Muhammad Ishak, 24, yang bakal mendirikan rumah tangga dua bulan lagi mengenai kebakaran 18 unit setinggan di Kampung Sungai Udang di sini petang semalam.

Turut musnah ialah Perodua Viva miliknya.

"Semasa kejadian, saya sedang berniaga di bazar Ramadan dan apabila saya sampai di rumah, api sudah marak," katanya dan menambah dia mungkin akan menumpang di rumah rakan buat sementara waktu atau di Dewan Serbaguna berdekatan.

Mohd Zin Md Baharum, 51, pula berkata wang RM10,000 yang dikumpul lebih 10 tahun turut hangus.

"Semua persiapan raya musnah kerana kami tiada di rumah ketika kebakaran.

Kami sekeluarga sekarang tinggal sehelai sepinggang. Nak beli apa pun tak boleh, duit tinggal RM3 sahaja.

"Baju raya, kuih raya yang isteri saya buat semua habis dijilat api. Tak boleh nak fikir lagi nak ke mana selepas ini mungkin tinggal sementara di dewan sampai dapat rumah sewa lain," katanya yang bekerja sebagai penghantar barang di sebuah syarikat perkapalan.

Mangsa yang ditempatkan sementara di Dewan Serbaguna Teluk Pulai diziarahi Setiausaha Politik kepada Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Faizal Abdullah yang turut menghulurkan bantuan RM500 seorang kepada mangsa.

Beliau berkata pihaknya akan membantu kesemua mangsa yang dokumen pengenalan diri, pasport, sijil nikah dan sebagainya hangus terbakar untuk mendapatkan semula salinan daripada agensi yang terlibat.

"Mana-mana mangsa yang memerlukan bantuan pihak kami untuk mencari rumah sewa juga boleh menyuarakan hasrat itu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan untuk tindakan lanjut," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com