Bantuan Aidilfitri Rapat Silaturrahim Semua Peringkat Masyarakat - Abdul Mutalif


PETALING JAYA - Bantuan kepada golongan memerlukan termasuk orang kelainan upaya (OKU) dan anggota keselamatan menjadi platform mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat terutama menjelang Aidilfitri.

Timbalan Koordinator Pembangunan Persekutuan DUN Medan Datuk Abdul Mutalif Abdul Rahim berkata, ia sekali gus ramuan mendekatkan jurang antara golongan sederhana, susah serta senang.

"Ini salah satu benda kecil yang dapat kami bantu. Anggota polis telah buat baik kepada negara kita. Malah, kelmarin saya difahamkan ada anggota trafik yang sedang mengiringi kenderaan jenazah juruterbang pesawat Hawk 108 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terlibat dalam kemalangan.

"Inilah antara kerja baik yang mereka telah laksanakan demi keselamatan dan keamanan negara.

"Jadi, sumbangan kita pada hari ini(kelmarin) adalah demi membalas budi anggota polis atas tanggungjawab yang digalas selama ini," katanya semasa menyampaikan bantuan kepada 42 kanak-kanak OKU sekitar Taman Medan dan 16 anak anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini pada Sabtu.

Mereka diraikan dalam satu majlis di ibu kota sempena menyambut kehadiran Aidilfitri tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Abdul Mutalif yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan berkata, kanak-kanak tersebut diberi peluang memilih sendiri busana Aidilfitri di sebuah gedung membeli belah mengikut cita rasa masing-masing.

"Keceriaan dan pemberian sempena Aidilfitri ini akan diteruskan melalui program lain seperti jualan gudang murah dan pemberian minyak dalam memastikan keindahan Syawal dapat dikongsi semua golongan tanpa mengira latar belakang," ujarnya.

Sumber : Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com