"Ayam Pusing Pening Musing" Curi Tumpuan

  ‘Ayam Pening’ curi tumpuan

KUALA TERENGGANU - Nama unik bagi produk yang dijual digunakan peniaga yang berniaga di bazar Ramadan sedikit sebanyak membantu mempromosikan lagi perniagaan mereka.

Pengusaha 'Ayam Pusing Pening Musing', Ahmad Ameruddin Muhammad Amin, 37, berkata, sejak memulakan perniagaan itu empat tahun lalu, pelanggan lebih mengenali produk yang dijualnya dengan panggilan ‘Ayam Pening’.

“Walaupun nama yang diberikan panjang, tetapi nama ‘Ayam Pening’ lebih mudah diingati pelanggan.

“Nama itu ringkas, mudah disebut, ada terselit elemen humor dan kanak-kanak yang datang ke gerai untuk membeli ayam pun mudah ingat nama ayam yang hendak dibeli, ‘Ayam Pening’,” katanya yang berniaga di Bazar Ramadan, Pasar Manir, di sini.

Beliau yang berasal dari Bukit Payong, di sini, berkata, selain nama yang mudah diingat, kelainan sos yang disediakan bagi ayam golek yang dijual menjadikan ia sentiasa mendapat permintaan yang tinggi.

Ditanya mengenai jumlah ayam terjual pada setiap hari sepanjang Ramadan, katanya, ia tidak mengecewakan kerana ayam yang dijual laris setiap hari.

“Alhamdulillah, awal Ramadan lalu, ‘Ayam Pening’ laku hingga 150 ekor sehari, di pertengahan Ramadan ini pula terjual sehingga 130 ekor sehari mungkin juga pelanggan ingin beralih selera atau ingin mencuba juadah yang lain.

“Bagaimanapun, kebanyakan pelanggan yang datang ialah pelanggan tetap, ada juga pelanggan baharu yang datang untuk mendapatkan ‘Ayam Pening’ sepanjang Ramadan,” katanya yang turut beroperasi pada hari biasa.

Ahmad Ameruddin berkata, selain mengekalkan rasa, beliau juga turut mengekalkan harga jualan ayam iaitu RM23 atau RM22 bagi seekor ayam yang dijual.

“Biarpun harga bahan mentah naik, tetapi kita tetap ada dapat untung dari segi jualan setiap hari,” katanya yang mengusahakan perniagaan itu bersama isteri, Nor Azita Aziz, 24.

Selain berniaga di bazar Ramadan pada bulan puasa, perniagaannya yang turut dibantu oleh dua lagi pekerja beroperasi seperti biasa iaitu pada hari Ahad hingga Jumaat berhadapan Pasar Manir.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com