Anggota Parlimen Belia Malaysia Perak Rai Anak Yatim


IPOH - Tiga puluh lima anak yatim dan fakir miskin dari Rumah Anak-Anak Yatim dan Miskin Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Batu 9, Chemor dekat sini teruja kerana berpeluang memilih sendiri kelengkapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut hujung minggu depan.

Kegembiraan mereka dapat dilihat ketika dibawa membeli-belah oleh Anggota Parlimen Belia Malaysia Perak di pusat gedung tekstil Jakel Ipoh yang terletak di Jalan Greentown di sini kelmarin.

Mohamad Habri Hakim, 13, berkata ini merupakan kali pertama beliau diberi peluang memilih dan mencari pakaian raya yang diinginkannya untuk menyambut lebaran.

"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak yang sudi membeli kelengkapan baju Melayu dan ia amat bermakna bagi saya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya kepada pemberita ketika ditemui di gedung tekstil berkenaan.

Nabil Wafri Abdul Wahab, 13, seperti mana rakan-rakannya yang lain, nyata gembira dapat memilih baju Melayu berwarna biru yang merupakan warna kegemarannya.

"Saya sangat berterima kasih kepada pihak yang membantu dan saya rasa gembira serta tidak sabar untuk menyambut hari raya nanti," katanya.

Sementara itu, wakil Parlimen Belia Malaysia Perak Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata lebih RM2,000 diperuntukkan untuk membantu anak yatim dan miskin berusia dua hingga 15 tahun membeli kelengkapan baju Melayu dan turut menyumbangkan duit raya kepada mereka.

Beliau berkata ia merupakan tanggungjawab sosial korporat mereka untuk membantu golongan yang memerlukan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi dan akan diteruskan pada masa akan datang. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com