AIM Perkenal Program ISJ Bantu Peminjam Selesai Tunggakan Hutang

PENGERUSI Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Dr Zubir Harun menyampaikan sumbangan Ramadan kepada salah seorang sahabat AIM yang kurang bernasib baik di pekarangan pejabat Wilayah AIM Kedah, Alor Setar. - Foto Amran Hamid
ALOR SETAR - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yakin pendekatan baharu digunakan melalui program Infaq Sedekah Jariah (ISJ), mampu membantu menyelesaikan isu tunggakan hutang dalam kalangan peminjam.

Memetik laporan BH Online, Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Zubir Harun berkata, program ISJ dilaksanakan khusus bagi membantu peminjam dana AIM yang menghadapi masalah sehingga menyebabkan perniagaan diusahakan mereka terjejas.

Jelas beliau, AIM melalui Kelab Sahabat melakukan pelbagai perniagaan seperti menjual produk harian termasuk sabun untuk menjayakan program ISJ dalam usaha membantu meringankan beban peminjam terbabit sejak setahun lalu.

"Keuntungan hasil jualan itu akan digunakan AIM untuk disalurkan kepada peminjam yang tidak mampu menjelaskan hutang, khususnya dalam menampung tunggakan yang perlu diselesaikan.

"Melalui rekod kita, 98 peratus peminjam sudah membayar kembali pinjaman mereka, manakala bakinya kita cuba bantu kerana kita memahami masalah yang dihadapi golongan terbabit terutama di kawasan timur Sabah.

"Kaedah digunakan ini ternyata memberi hasil yang terbaik seperti contoh di cawangan Kota Setar ini yang merekodkan tunggakan pinjaman sebanyak RM597,000, namun dengan pelaksanaan program ISJ tunggakan kini berbaki RM350,000, " jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan Ramadan kepada 40 sahabat AIM yang kurang bernasib baik di pekarangan pejabat Wilayah AIM Kedah, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zubir berkata, pihaknya tidak memberi tempoh khusus kepada peminjam untuk menyelesaikan tunggakan pinjaman dan program ISJ akan terus digunakan sebagai pendekatan untuk membantu mereka.

"Kita sedar tunggakan terbabit akan mengambil masa untuk diselesaikan dan AIM sedia beri kelonggaran kepada peminjam atas situasi tertentu.

"Malah ada juga hutang yang kita lupuskan terus kerana peminjam sukar menjalankan perniagaan akibat ekonomi yang tidak bagus termasuk halangan tertentu seperti di Sabah," ujarnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com