Aidilfitri: SADA Komited, Ikrar Sedia Agih 2.2 Juta Liter Air Sehari


ALOR SETAR – Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) berikrar sedia mengagihkan sebanyak 2.2 juta liter air setiap hari sekiranya berlaku krisis gangguan air sepanjang musim perayaan nanti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abd Ghani Zainuddin berkata jumlah bekalan air sebanyak itu adalah sekali ganda berikutan persediaan yang rapi dilakukan oleh pihaknya berdasarkan pengalaman tahun lepas.

“Tahun ini kita membuat persiapan yang lebih baik dengan menyediakan 127 lori memandangkan SADA mengenal pasti lebih banyak kampung yang bakal terjejas iaitu 257 buah kampung.

“Operasi penghantaran air menggunakan lori bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam dan sekiranya keadaan semakin buruk, kita akan hantar 24 jam selama tujuh hari semasa Aidilfitri nanti,” katanya ketika ditemui pemberita pada sidang media khas selepas taklimat dan persiapan terakhir menangani masalah air menjelang Aidilfitri di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Datuk Badrul Hisham Hashim.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din yang mempengerusikan sesi taklimat sebelum itu berkata, beliau berpuas hati dengan semua persiapan kontingensi gangguan bekalan air yang dilakukan semua pihak termasuk Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Bomba sepanjang Aidilfitri nanti.

"Cuma kita agak kecewa apabila loji Pokok Sena yang dijangka siap pada tahun ini, masih belum dapat beroperasi seperti yang dirancangkan. Sekiranya beroperasi kelak, bekalan air di kawasan Pokok Sena dan Kota Setar dijangka selesai.

"Lima projek loji yang lain iaitu Loji Rawatan Air Pelubang, Loji Rawatan Air Bukit Selambau (Merbok), Loji Rawatan Air Sungai Limau (Baling), Loji Rawatan Air Lubuk Buntar Lama dan Loji Rawatan Air Jenun Baru (Yan dan Pendang) masih dalam peringkat penilaian," katanya, memetik laporan Bernama.

Selain itu, Badrol Hisham turut menjelaskan bahawa satu taklimat mengenai pelan kontingensi gangguan bekalan air akan turut diberikan kepada wakil rakyat pembangkang yang sebelum ini sering memperlekeh usaha Kerajaan Negeri meskipun gagal berbuat demikian ketika mentadbir Kedah sebelum ini.

"Isu ini berkaitan rakyat, kami mahu semua pihak mendapat maklumat bagi memastikan tiada masalah berlaku hingga membebankan rakyat nanti,” katanya. – Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com