Aidilfitri: SADA Beku Cuti Semua Staf, 270 Lori Tangki Siap Siaga


ALOR SETAR - Syarikat Air Darulaman Sdn Bhd (SADA) mengambil langkah yang drastik  untuk memastikan air yang dirawat sampai ke kawasan-kawasan yang sering terputus bekalan pada musim perayaan ini.

Antara langkah yang diambil itu termasuk membeku cuti kakitangan SADA pada musim perayaan ini di samping menyediakan sebanyak 270 lori tangki untuk mengangkut bekalan air ke 257 buah kampung yang dikenalpasti menghadapi masalah bekalan.

Selain itu, beberapa Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini juga mengambil inisiatif sendiri untuk menyediakan lori bagi menyalurkan bekalan air sekiranya berlaku gangguan air yang teruk.

Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Datuk Abdul Ghani Zainuddin berkata, kekerapan lori tangki itu mengangkut air pada setiap hari di antara 48 hingga 306 kali, manakala tempoh operasinya di antara jam 8 pagi hingga 12 malam.

Bagaimanapun, persiapan itu hanya akan berlaku jika kawasan tersebut mengalami ketiadaan air secara serentak, kata Abdul Ghani semasa menyampaikan taklimat kepada ADUN dan wakil-wakil mereka di Wisma Darulaman di sini petang semalam.

Turut sama mendengar taklimat ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air dan Tenaga Negeri, Datuk Badrulhisham Hashim, ADUN Bukit Kayu Hitam, Datuk Ahmad Zaini Japar dan ADUN Pedu, Datuk Kama Noriah Ibrahim.

Abdul Ghani juga memberitahu, walaupun musim panas sekarang ini sudah bermula paras air di lima buah empangan yang membekalkan air kepada pengguna masih berada di atas 50 peratus.

(Paras air Empangan Pedu 71 peratus, Ahning 65 peratus, Beris 64 peratus dan Muda sebanyak 50 peratus).

Menurut Abdul Ghani lagi, antara kawasan tumpuan pada Aidilfitri ini ialah melibatkan Parlimen Merbok ekoran bekalan air di loji takungan di kawasa itu yang hanya bergantung kepada air hujan semata-mata.

Kata Abdul Ghani lagi, pada waktu biasa jika berlaku gangguan dan tekanan rendah, sebanyak 55 buah lori tangki digunakan bagi tujuan mengangkut air ke 99 buah kampung.

"Kita yakin tahap ketiadaan bekalan air pada musim Raya Aidilfitri akan berkurangan berbanding tahun lepas yang disebabkan kemarau panjang selain fenomena El Nino," katanya lagi.

Beliau berharap para pengguna akan bekerjasama dan berjimat cermat kerana air yang dibekalkan percuma itu adalah air yang terawat.  -Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com