Agong Berbuka Puasa Dan Kurnia Zakat Kepada 600 Anak Yatim


KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V malam tadi berkenan berangkat ke majlis santapan berbuka puasa bersama 600 anak yatim dari sekitar Lembah Klang, anjuran Lembaga Tabung Haji (TH).

Keberangkatan tiba Seri Paduka di Istana Negara disambut oleh Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Johan Abdullah.

Selepas berbuka, Seri Paduka menyertai lebih 600 jemaah menunaikan solat Maghrib yang diimamkan oleh Imam surau Istana Negara Nik Ridhuan Nik Mohamad, diikuti dengan santapan malam.

Pada majlis itu Sultan Muhammad turut berkenan mengurniakan zakat berjumlah RM90,000 (RM150 seorang) kepada anak-anak yatim yang berumur 10 hingga 17 tahun itu.

Baginda kemudian sekali lagi menyertai anak-anak yatim tersebut bersama-sama menunaikan solat Isyak dan Tarawih yang diimamkan oleh Penolong Pegawai Agama Istana Negara Ustaz Zulkefli Salleh. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com