71% Penyalahgunaan Dadah Berbangsa Melayu


KUALA LUMPUR  - Kadar penagihan dadah dalam kalangan kaum Melayu berada pada keadaan membimbangkan apabila menguasai 71 peratus daripada rekod tangkapan yang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 2014 hingga Mei 2017.

Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM Bukit Aman SAC, Zulkifli Ali malah berkata, kelompok umur antara 14 tahun hingga 29 tahun menguasai kira-kira 41 peratus penagih berdasarkan rekod polis.

Katanya, polis kini berdepan cabaran apabila dadah yang dihasilkan kini lebih moden kerana boleh dikeluarkan melalui makmal seperti syabu berbanding dadah tradisional sebelum ini yang perlu bergantung kepada tumbuhan seperti ganja.

Selain itu boleh dikatakan Malaysia tidak terkecuali sebagai antara negara yang menjadi lokasi penghasilan dadah.

Penghasilan dadah yang dilakukan secara makmal boleh berpindah-randah untuk mengelakkan daripada dikesan.

Lebih mencabar, dadah kini boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan menggunakan paket bungkusan yang membuatkan pihak berkuasa sukar mengesan sama ada ia dadah atau tidak, katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam sesi pertama Forum Jihad Memerangi Penyalahgunaan Dadah yang diadakan di dewan Utusan di sini semalam.

Forum itu dianjurkan bersama antara Majlis Perundingan Melayu (MPM), Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) dan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd. (Utusan).

Sumber : Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com