597 Unit Rondaan Bermotosikal Diguna Pada Musim Perayaan


IPOH - Sebanyak 597 buah Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) akan diguna untuk mencegah dan membanteras jenayah semasa Aidilfitri di Perak.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zainuddin Yaacob berkata pihaknya akan mempertingkatkan rondaan di kawasan tumpuan orang ramai seperti bank, stesen bas serta keretapi dan pusat beli-belah bagi memantapkan elemen pencegahan jenayah.

"Langkah ini penting untuk mencegah dan membanteras kejadian jenayah pada tahap yang maksimum, mengurangkan peluang untuk perlakuan jenayah dan sekali gus meningkatkan rasa selamat masyarakat," katanya kepada pemberita pada Program Berbuka Puasa di Meru Raya di sini semalam.

Dalam pada itu, Zainuddin berkata orang ramai boleh mendapatkan borang 'balik kampung' di balai polis berhampiran.

Beliau berkata orang ramai juga boleh menghubungi polis sekiranya terdapat kenderaan atau orang yang disyaki meragukan di talian 05-2401999 atau Cemerlang Perkhidmatan Kecemasan (MERS 999). - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com