40,000 Pelita Dinyalakan Pada Pertandingan Pelita Raya Di Terengganu


KEMAMAN - Sebanyak 40,000 pelita akan dinyalakan sempena pertandingan Pelita Raya Beautiful Terengganu 2016 bermula Jumaat ini, melibatkan empat buah daerah di Terengganu.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata program yang mula diperkenalkan sejak 2009 itu dijangka mampu menarik penyertaan sehingga 400 peserta.

Katanya kampung yang terlibat ialah kampung Sekati, Kuala Terengganu; Kampung Air Putih, Kemaman; Kampung Beris Lampu, Besut dan Kampung Padang Hangus, Kuala Nerus.

"Bagi daerah Kemaman dan Besut, pertandingan akan bermula pada 16 hingga 18 Jun manakala 19 hingga 21 Jun pula melibatkan daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

"Tradisi ini diteruskan bagi menghidupkan kembali suasana memasang pelita setiap kali Ramadan dan menjelang Aidilfitri. Ia merupakan produk pelancongan yang mampu menampilkan keunikan yang tersendiri," katanya dalam satu sidang media, di sini.

Menurutnya pertandingan yang bertemakan Warna-Warni Pelita Raya Beautiful Terengganu itu menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM42,000 dan pemenang tempat pertama bakal menerima RM3,000; kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000.

Jelasnya kebanyakan pelita tersebut diperbuat daripada bahan terbuang dan bahan semula jadi sebelum membentuk replika mahupun monumen mengikut kreativiti tersendiri.

"Pemasangan pelita ini amat sinonim dengan masyarakat kampung jadi kita bercadang untuk memperluaskan di kawasan bandar namun bukan secara mendadak kerana biasanya hanya di kawasan kampung sahaja kita akan temui pemandangan seperti ini," katanya.

Beliau berkata sebanyak 3,000 pelita juga dinyalakan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing bagi menarik minat pengguna Lebuhraya Pantai Timur 2 singgah berehat di R&R terbabit.

Untuk rekod, pertandingan Pelita Raya ini mula diperkenalkan pada peringkat kampung Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh pada tahun 2009 sebelum diperluaskan ke kawasan lain. - BERNAMA


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com