280 Keluarga Etnik Rohingya Terima Sumbangan Raya Di Kota Tinggi


KOTA TINGGI - Seramai 280 keluarga etnik Rohingya menerima sumbangan hari raya dari Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) Kota Tinggi dan Pejabat Parlimen Tenggara pada Majlis Sentuhan Kasih Ihya Ramadhan Bersama Warga Rohingya di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya di sini, semalam.

Sumbangan wang zakat dan barang makanan tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merangkap Ahli Parlimen Tenggara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Yang turut hadir Pegawai Perunding Cara Pejabat Kadi Daerah Kota Tinggi Hasnita Hashim dan Ketua Komuniti Rohingya Kota Tinggi Ali Mohamed.

Halimah berharap sumbangan yang dikongsikan ini dapat memberikan keceriaan serta kemeriahan menyambut hari raya yang bakal menjelang.

Sementara Ali Mohamed berkata, dia amat bersyukur serta terharu apabila ada pihak yang sudi memberi bantuan.

"Malaysia adalah sebuah negara yang aman dan selamat selain memberi keselesaan pada kami malah kami bersyukur dan berterima kasih kerana tidak pernah terpinggir daripada menerima bantuan seperti ini.

"Sumbangan yang diterima itu menjadikan sambutan Aidilfitri kali ini lebih bermakna namun kami tidak melupakan nasib saudara kami yang teraniaya di sana," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com