2,000 Asnaf, Ibu Tunggal Terima Sumbangan Aidilfitri


IPOH - Seramai 2,000 individu terdiri golongan asnaf dan kaum ibu sekitar Parlimen Tambun menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun bersama Lembaga Kebajikan Perempuan Perak di Masjid Ar Rahman, Manjoi, di sini semalam.

Anggota Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, sumbangan yang dihulurkan itu berbentuk wang tunai dan barangan keperluan asas untuk kegunaan golongan berkenaan menyambut Aidilfitri.

Katanya, program bersifat tahunan itu merupakan antara yang terbesar pernah diadakan Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun sepanjang Ramadan berlangsung.

"Program ini bersifat dua dalam satu. Selain sumbangan, kita juga adakan program tadarus di masjid ini bersama sebilangan masyarakat di kawasan Parlimen ini.

"Selain mengeratkan silaturahim antara kita, program seumpama ini juga kalau kita lihat ia sedikit sebanyak memberi penyatuan kepada umat Islam sepertimana yang dituntut dalam al-Quran," katanya ketika ditemui pada program itu, di sini semalam.

Ahmad Husni berkata, pihaknya juga gembira kerana sambutan yang diterima amat menggalakkan.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta Datuk Aminuddin turut menyampaikan sumbangan kepada 50 individu daripada kalangan penghuni dan penjaga Rumah Anak Yatim Budi Mulia Nurul Huda, Chemor di, Mydin Hyper Market, Meru Raya, di sini.

Katanya, sumbangan bernilai RM7,500 itu merupakan tajaan penuh daripada Pusat Khidmat ADUN Ulu Kinta.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Ulu Kinta berkata, program kali keempat dianjurkan itu bertujuan meraikan golongan berkenaan sempena kedatangan Hari Raya.

"Kami telah menyediakan kos perbelanjaan membeli-belah sebanyak RM150 bagi setiap seorang anak fakir miskin ini demi memenuhi keperluan dan impian mereka untuk memiliki beberapa helai pakaian dan kasut baru.

"Kita mengharapkan dengan program ini, anak fakir miskin ini dapat menyambut

Aidilfitri dengan sempurna dan penuh keberkatan," katanya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com