ALOR SETAR - Tidak ada yang lebih menggembirakan bagi kanak-kanak apabila dibelikan pakaian baharu yang cantik selain menerima duit raya bagi menyambut hari lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi.
Perasaan gembira itu tentunya lebih dirasai oleh anak-anak daripada keluarga yang tidak berkemampuan termasuk anak-anak yatim yang kematian ibu dan bapa atau mereka tiada lagi tempat untuk bergantung kasih.
Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Alor Setar yang diketuai oleh Datuk Syed Abdul Hafiz Syed Mustapa baru - baru ini turut menyantuni seramai 100 orang anak-anak dari keluarga yang kurang berkemampuan di sekitar bandar ini.
Kanak-kanak itu dibawa ke Jakel untuk memilih pakaian raya dan ternyata mereka cukup ceria dengan layanan daripada Ahli Jawatankuasa Pemuda yang membantu mereka menyesuaikan pakaian baharu itu.
Menurut Syed Hafiz, kegembiraan anak-anak itu turut menyentuh perasaannya kerana ada di antara penerima bantuan zakat dan sumbangan pakaian raya itu merupakan anak rakan-rakannya yang telah pergi dahulu.
Selain UMNO bahagian Alor Setar, bahagian-bahagian lain serta Ahli Dewan Undangan (ADUN ) juga tidak ketinggalan membuat amal jariah pada bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri dengan menyumbangkan pakaian-pakaian, kuih muih serta duit raya kepada mereka yang tidak berkemampuan. - Kedahnews.com
No comments: