"Sokong PPBM Sama Seperti Sokong DAP"


ALOR SETAR - Sokong PPBM bererti sokong DAP? Itu adalah reaksi balas PAS menjawab kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membayangkan PAS mungkin akan bekerjasama dengan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke -14 akan datang.

Presiden PPBM itu mendengar khabar kononnya Mursyidul Am PAS menyebut UMNO dan PAS akan bertahluf siyasi dan bercadang membahagikan kerusi dalam menghadapi Pakatan Harapan.

"Jika ia berlaku, ini bermakna sokong PAS bererti sokong UMNO," kata Muhyiddin seperti mana yang disiarkan oleh Kini TV.

Memang benar PAS boleh bekerjasama dengan mana- mana pihak termasuk UMNO jika mereka boleh menerima Islam sebagai agenda perjuangan PAS. Itu kata pemimpin PAS.

Bagaimanapun seperti yang ditegaskan,PAS tidak pernah berbincang  untuk memberikan laluan kepada UMNO di kerusi-kerusi tertentu dan menuntut balasan yang sama daripada UMNO.

Jika pun PAS hendak bekerjasama dengan UMNO, ia bukanlah masalah bagi PPBM yang telah pun ditolak oleh PAS. Kalaua PAS boleh memutuskan kerajasama dengan PKR yang didapati mengkhianatinya, tidak ada sebab PAS hendak bersama PPBM yang kini kembali menyerang PAS selain menyokong DAP.

“Saya mengira Tan Sri Muhyidin bahkan Dr. Mahathir sekalipun akan bersetuju jika kita menyebut secara jelas dan terang, dengan lidah yang fasih bahawa undi PPBM bererti undi DAP! kata seorang penulis Ahmad Fadhli Shaari dalam Harakahdaily semalam.

Dalam masa yang sama Pengerusi PPBM Tun Dr. Mahathir Mohamad terus mengulangi kenyataannya bahawa tidak ada satu pun parti lain di negara ini mampu menumbangkan BN apatah lagi untuk menang pilihan raya umum.

Pengerusi PPBM itu memberi alasan bahawa pembangkang amat  mengharapkan PAS untuk bekerjasama dalam Pakatan Harapan yang diketuai DAP bagi membentuk satu pasukan yang kuat dalam usaha menyingkirkan BN.

“PPBM bersungguh-sungguh nak kerjasama dengan PAS, berkali-kali kita jumpa wakilnya dan mereka pada mulanya bersetuju, namun bila bertemu Hadi (Presiden PAS) tidak bersetuju pula, katanya seperti mana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia semalam.

“Sehinggakan kita lewatkan penubuhan Pakatan Harapan kerana nak dapatkan persetujuan PAS, tetapi PAS lebih utamakan hubungan rapat dengan UMNO.

 “Kita masih terbuka dengan PAS, kerana kalau kita tidak bekerjasama dengan parti pembangkang lain tidak mungkin kita menang,” katanya menerusi temubual khas di laman Facebook beliau yang disiarkan secara langsung. – Kedahnews.com.

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com