Sikap Ibu Bapa Punca Risiko Thalassaemia


ALOR SETAR - Sikap ibu bapa yang tidak membenarkan anak mereka menjalani ujian saringan Thalassaemia antara punca berlaku peningkatan kes setiap tahun.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, ujian saringan yang diperkenalkan melalui perkhidmatan kesihatan sekolah bermula tahun lalu, melibatkan pelajar Tingkatan Empat seluruh negara.

“Bagaimana pun, ujian saringan ini memerlukan kebenaran ibu bapa, namun masih ramai ibu bapa tidak beri kelulusan menyebabkan saringan tidak dapat dilakukan, dan jumlah pembawa Thalassaemia meningkat. 

"Ibu bapa perlu diberikan kesedaran akan kepentingan ujian ini demi masa depan anak mereka,” katanya, selepas merasmikan Kempen Sambutan Hari Thalassaemia peringkat negeri Kedah, di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Pengarah HSB, Dr Balkhis Abdullah.

Menurutnya, setakat ini seramai 450,000 pelajar Tingkatan Empat seluruh negara akan disaring setahun, di mana sejumlah 198,651 pelajar  dilakukan saringan, daripada jumlah itu 5,109 disahkan pembawa Thalassaemia manakala lebih 11,000 masih menunggu keputusan ujian.

“Bagi negeri Kedah (2016), jumlah pelajar dilawati adalah 14,452 daripada jumlah keseluruhan pelajar Tingkatan Empat, 37,226.     Seramai 10,754 pelajar diberikan kebenaran oleh ibu bapa untuk saringan dan hanya 9,718 berjaya disaring,” katanya.

Dr Norhizan berkata, daripada jumlah itu, 774 pelajar disahkan pembawa Thalassaemia, iaitu 7.9 peratus.

“Hanya tiga daerah berjaya melengkapkan lawatan ke sekolah, Sik merupakan daerah liputan saringan tertinggi melibatkan 850 pelajar daripada jumlah keseluruhan 1,106 pelajar, diikuti Bandar Baharu 370 pelajar daripada 651, serta Padang Terap (749 daripada 1381),” katanya.

Menurutnya, adalah penting untuk individu belum berkahwin mengetahui status kesihatan bagi mengelak perkahwinan sesama pembawa Thalassaemia.

Kata Dr Norhizan lagi ini kerana pasangan itu berisiko untuk melahirkan bayi   Thalassaemia major.

“Sasaran kita adalah mengurangkan sebanyak 95 peratus kelahiran pesakit baharu menjelang 2040. 

"Pada masa ini, dianggarkan 3-5 peratus penduduk Malaysia, iaitu antara 780,000-1.3 juta adalah pembawa penyakit genetik ini, di mana 120-350 bayi Thalassaemia major dilahirkan setiap tahun,” katanya.

 Sumber : Sinar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com