“PM Suka Cara Saya Kendali Dialog TN50”- Rosyam Nor


MESKIPUN terpalit dengan kritikan berkenaan kredibiliti sebagai moderator Dialog TN50 yang berlangsung malam Rabu lalu, penerbit dan pelakon Datuk Rosyam Nor memberitahu bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyukai cara dia mengendalikan program tersebut.

Walaupun tercetus insiden pergaduhan antara penerbit David Teo dan pelakon Sulaiman Tassin atau Mat Over semasa majlis berlangsung, Rosyam berjaya mengawal keadaan tegang berkenaan sehingga penghujung majlis.

“Alhamdulillah Perdana Menteri suka sangat cara saya mengendalikan majlis itu dan sebenarnya pihak mereka dua kali datang ke pejabat saya untuk beri penerangan.

“Saya juga sudah banyak pengalaman mengendalikan program-program untuk agensi kerajaan, saya minta beliau untuk buat secara santai dan mulakan dengan selfie.

“Berkenaan insiden itu, saya bukan baru jadi pengacara, saya cukup matang untuk mengendalikan situasi itu, mungkin kalau berlaku pada orang lain agak sukar untuk mereka kendalikan,” ujarnya.


Pertelingkahan antara Mat Over dan David Teo selesai pada majlis itu juga selepas mereka bersalaman di hadapan Perdana Menteri sendiri.

Rosyam bertindak sebagai moderator untuk majlis dialog bersama penggiat seni yang berlangsung di kediaman Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya.

Sementara itu, David dilaporkan mempertikaikan cara Rosyam mengendalikan program berkenaan.

Ini kerana, dia merasakan cara Rosyam mengendalikan program itu tidak adil kerana hanya memberi fokus kepada tetamu bahagian hadapan sahaja.

Dalam pada itu, Rosyam berkata, Najib memberi respon positif kepada semua idea dan menjawab soalan-soalan yang diajukan penggiat seni yang hadir.

“Pegawai-pegawai beliau sudah mencatat semua soalan yang ditanya dan PM juga sudah menjawab 90 peratus soalan mereka.

“Beliau juga bersetuju mengadakan dialog seperti ini sekali lagi,” ujar Rosyam lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com