Piala FA: Lang Merah Atau Tok Gajah?


MALAM ini, Pahang dan Kedah, dua pasukan yang kin berada di tangga kedua dan tiga Liga Super akan menentukan siapa yang lebih gagah dan layak untuk menjulang Piala FA edisi 2017 pada pentas perlawanan akhir di Stadium Shah Alam.

Pertarungan dua pasukan elit tempatan itu dijangka mendebarkan jantung ratusan ribu penyokong masing-masing yang memenuhi stadium mahupun yang menyaksikannya menerusi siaran langsung di televisyen.

Pahang mahu pun Kedah yang pernah bertembung di pentas akhir Piala Malaysia masing-masing mempunyai kelebihan. Kedua pasukan juga pernah jatuh dan bangkit dalam liga bolasepak tertua di negara ini.

Fakta menarik inilah kali pertama Pahang dan Kedah bertembung di peringkat akhir Piala FA sejak 1990.

Kedah memburu kejuaraan ke empat setelah menjulang piala tersebut pada 1996 menewaskan Sarawak, 2007 mengalahkan Perlis, 2008 menumpas Selangor. Lang Merah juga muncul naib juara Piala FA pada 2010 apabila kalah dengan pentuan sepakan penalti dengan Negeri Sembilan.

Bagi skuad Tok Gajah pula mahu memburu piala itu buat kali kedua selepas menjuarainya dua kali, iaitu pada tahun 2006 menewaskan pasukan Perlis dan 2014 mengalahkan Felda United.

Seperti juga Kedah, Pahang hanya menjadi naib juara sekali apabila tewas pada Sabah pada 1995.

Kedah melangkah ke akhir Piala FA selepas menyingkirkan Terengganu dengan agregat kemenangan  4-0 sementara Pahang menewaskan Negeri Sembilan dengan agregat 3-1.

Kedua pasukan mempunyai corak permainan yang agak berbeza. Pahang lebih gemar membuat hantaran bola jauh sementara Kedah pula membuat pergerakan dengan hantaran pendek yang mengelirukan.

Tumpuan penyokong ialah kepada pasukan mana yang terlebih awal menjaring gol kerana ia memberi kelebihan untuk meyuntuntik semangat para pemainnya.

Bagi skuad Lang Merah, sudah pasti menurunkan kesebelasan pemain utama termasuk penyerang Ken Ilso Larson dan pengemudi serta penyerang di bahagian tengah, Liridon Krasniqi, Sandro da Silva dan Baddrol Bakhtiar.

Manakala Pahang meletakkan harapan kepada penyerang baharu dari Argentina, Yamil Romero serta Mohamadou Sumareh daripada Gambia selain beberapa pemain tengah yang mampu mengucar kacirkan pertahanan Kedah.

 Secara keseluruhan, kekuatan Pahang dan Kedah adalah seimbang dan kedua-dua pasukan mempunyai peluang 50-50 untuk menjulang Piala FA walaupun Pahang pernah dibelasah oleh Kedah di awal Liga Super.

Pemangku Jurulatih Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yusuff dan Ketua Jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang pernah membimbing skuad kebangsaan tentunya memiliki strategi terakhir untuk memerangkap lawan masing-masing.

Kedua-dua jurulatih itu telah membuktikan kemampuan masing-masing membawa Kedah dan Pahang ke pentas akhir musm ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com