Liridon Mohon Guru, Murid Doa Kedah Juara Piala FA


ALOR SETAR – Tiada apa yang diminta oleh Liridon Krasniqi sempena sambutan Hari Guru hari ini  selain memohon golongan pendidik dan pelajar mendoakan agar Kedah menjuarai Piala FA pada perlawanan akhir menentang Pahang, Sabtu ini.

Liridon dan Sandro da Silva, dua penyerang tengah skuad Lang Merah pagi ini menjadi tetamu khas pada sambutan Hari Guru peringkat Sekolah Kebangsaan Peremba, dekat sini.

Kehadiran pemain tersebut diberi sambutan meriah oleh 60 orang guru diketuai  guru besar, Tajuddin Mat dan lebih 600 orang murid sekolah berkenaan yang terletak tidak jauh daripada Stadium Mini Peremba, di mana para pemain Kedah sering menjalani latihan.

Kedua-dua pemain import berkenaan mengambil masa lebih sejam beramah mesra dengan guru dan  murid-murid sambil bergambar dengan mereka selain sibuk melayan tanda tangan autograf.

Liridon, 25 , memberitahu, dia amat gembira disambut sedemikian rupa oleh guru serta para pelajar dan kehadirannya ke sekolah itu mengingatkan dirinya semasa dia berada di alam persekolahan di Vitina, Kosovo.

Sementara itu Sandro, berasal daripada Brazil yang turut menyumbangkan gol terakhir pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA semasa menentang Terengganu, Sabtu lalu juga  terharu dengan penghormatan yang diberikan oleh pihak sekolah itu.

 “Ini satu kenangan yang manis bagi saya”, katanya ringkas. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com