Iktiraf Usaha Kerajaan Beri Permit Kepada Pekerja


CAMERON HIGHLANDS - Majikan di sini diingatkan supaya tidak menidakkan usaha kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri untuk memberikan permit kepada para pekerja mereka termasuk yang telah tamat tempoh atau berada di tanah tinggi itu tanpa permit sah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan usaha yang dilakukan kerajaan itu termasuk mengeluarkan Permit Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan E-Kad kepada pekerja adalah bertujuan membantu majikan.

"Jabatan Imigresen telah diminta mengeluarkan PLKS dan E-Kad kepada pekerja asing di sini. Mereka diminta bekerjasama dengan majikan terlibat untuk mendapatkan dokumen pekerja daripada kedutaan atau pejabat pesuruhjaya di kedutaan di negara asal pekerja.

"Kita mengharapkan majikan lebih bertanggungjawab kerana kita berhasrat untuk membantu mereka," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Tindakan Pemulihan Cameron Highlands dengan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, di sini, semalam.

Menurut timbalan perdana menteri, perkara itu adalah antara ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat tersebut yang berlangsung kira-kira sejam di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, mesyuarat turut memutuskan agar semakan dan penilaian semula ke atas lebih 600 permohonan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) di tanah tinggi itu dibuat selepas ia ditolak sebelum ini.

Beliau berkata perkara itu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat kerajaan negeri Pahang dengan mengambil kira faktor ekonomi serta kemanusiaan terhadap mereka yang terlibat.

Tambahnya kerajaan negeri juga diminta mempertimbangkan pemberian permit penggunaan tanah kepada pengusaha haram yang telah mengusahakan tanah di kawasan hutan simpan kekal seluas 217.3 hektar sejak 30 tahun lalu.

"Kita juga putuskan untuk memberikan peranan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai agensi peneraju bagi melakukan pemantauan bersama kerajaan negeri, Pejabat Daerah dan Tanah serta agensi yang terlibat secara berkala," katanya.

Menurut timbalan perdana menteri, pemantauan berkala itu penting untuk menentukan tidak berlaku pencerobohan secara haram atau hakisan yang boleh menyebabkan banjir luar biasa atau permasalahan yang mengakibatkan kerosakan alam sekitar di tanah tinggi itu.

Tambah Ahmad Zahid, mesyuarat pada semalam juga memutuskan supaya Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan secepat mungkin program gotong royong bersama jabatan lain, masyarakat setempat dan badan bukan kerajaan untuk usaha pembersihan semua saliran bagi mengelak kejadian banjir kilat.

"Saya dimaklumkan oleh MB Pahang ada kenderaan pacuan empat roda dibuang ke tempat saluran itu. Saya mahu pengusaha dan majikan lebih bertanggungjawab, jangan mengaut keuntungan dengan meninggalkan  masalah," tegasnya.

Ahmad Zahid berkata penempatan baharu juga akan dibina di kawasan yang telah dikenal pasti untuk menangani masalah perumahan 28 keluarga Orang Asli di Sungai Tiang selain melaksanakan program integrasi di Sungai Tiang serta baik pulih kawasan lereng bukit.

"Kita (mesyuarat) juga telah memutuskan agar rumah-rumah kedai yang telah disita untuk ditimbangkan LPS dengan penggunaan levi dan bayaran tertentu mengikut perundangan negeri Pahang serta Pejabat Daerah dan Tanah.

"Semua langkah yang telah diputuskan ini merupakan langkah proaktif yang diputuskan jawatankuasa ini dan merupakan kerjasama pintar untuk seluruh pengusaha serta penduduk Cameron Highlands," katanya. – Bernama

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com