Ibu Tunggal Mangsa Kaki Pukul


KAMUNTING - Seorang ibu tunggal dua anak mengakui tertekan dan berada dalam ketakutan kerana sering menjadi mangsa pukul serta ugut seorang lelaki sejak 2011 hingga kini.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai, Nur, 25, mendakwa, tindakan lelaki dikenalinya itu semakin kerap berlaku antara enam hingga ke tujuh bulan kebelakangan ini.

Menurutnya, sehingga kini lebih 20 laporan polis dibuat kerana bimbang tindakannya boleh meragut nyawa.

“Selasa lepas, dia sekali lagi pukul dan belasah saya guna tongkat," katanya kelmarin.

        Antara kesan lebam yang masih ada di tubuh Nur selepas dia dipukul teruk, baru-baru ini.

Nur berkata, dia bukan sahaja bimbang keselamatan diri tetapi dua anaknya yang masih kecil berusia enam dan lapan tahun.

Tambahnya, tindakan lelaki tersebut turut menjejaskan perniagaannya.

“Dia bukan setakat datang ke rumah, tapi selalu juga datang kedai ganggu pekerja saya.

“Dia akan rosakkan barang-barang niaga saya sehingga saya rugi lebih RM5,000,” katanya.

Nur amat bimbang kerana masalah yang telah berlarutan lama ini akan menjadi lebih buruk.

“Saya sendiri rasa tak selamat, kadang-kadang saya terpaksa tidur di kedai,” katanya.

Sementara itu, pekerjanya yang mahu dikenali sebagai Hana, 23, berkata, lelaki berkenaan bertindak agresif dan seolah-olah tidak berperikemanusiaan.

“Pernah dia datang ke kedai rosakkan barang-barang dan bakar baju-baju.

"Dia bukan setakat kacau majikan saya, saya pun diugutnya. Saya selalu takut lebih-lebih lagi bila dekat kedai sebab apa saja boleh jadi,” katanya.

Dia berharap pihak polis dapat memberi perhatian serius kepada kes ini kerana jika dibiarkan mungkin boleh mengancam nyawa.

“Kami tak mahu perkara sama berulang sebab ia melibatkan soal keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.

Sumber : Sinar Online

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com