Final Piala FA: Pesanan Dari Janna Nick Kepada Skuad Lang Merah


ALOR SETAR - Selebriti yang juga merupakan anak kelahiran Kedah, Janna Nick menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kepada skuad Lang Merah yang bakal bertandang ke Staidum Shah Alam untuk pertarungan final Piala FA, bertemu skuad Tok Gajah.

Dalam pada itu, Janna sempat menyampaikan pesanan istimewa kepada semua pemain pasukan Hijau Kuning itu.

"Kepada pemain Kedah, berikan persembahan terbaik pada perlawanan akhir ini.

"Kalau saya sempat, saya akan cuba lari ke sana (Stadium Shah Alam) sebab nak tengok juga (aksi final Piala FA)... Pulun Kedah pulun!," katanya kepada media, sempena perlawanan final Piala FA pada 20 Mei ini.


Selain itu, Janna turut meminta kepada para peminat bola sepak Kedah supaya memberikan sokongan padu kepada pasukan kesayangan negeri Jelapang Padi itu.

Janna juga yakin bahawa perlawanan akhir kali ini akan memihak kepada skuad Lang Merah yang difahamkan belum lagi tewas di dalam saingan Piala FA musim ini.

"Piala FA, Kedah masih belum dikalahkan. Tak kalah lagi, okay... Saya rasa Kedah akan menang pada final ini," ujarnya, yakin dengan kemampuan skuad yang kini dibimbing jurulatih, Nidzham Adzha Yusoff.


Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah sebelum ini mengumumkan ganjaran kepada skuad Lang Merah sekiranya berjaya menjulang Piala FA musim ini dan membawanya pulang ke negeri ini.

Difahamkan, pasukan Hijau Kuning itu akan bertolak esok (18 Mei) ke Shah Alam bagi melakukan persediaan awal menjelang perlawanan akhir pada 20 Mei, Sabtu ini. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com