Final Piala FA: Pemain Kedah Terkejut Terima Nota Dari Penyokong


ALOR SETAR - Satu nota mengandungi kata-kata semangat buat pemain Kedah yang bakal mengharungi Final Piala FA 2017 Sabtu ini ditampal di pintu pagar rumah sewa mereka di Mentaloon, dekat sini pada pagi Selasa lalu.

Pemain tengah Kedah, Muhd Hanif Mat Dzahir berkata, beliau menyedari perkara tersebut kira-kira pukul 8.30 pagi.

Menurut pemain berusia 23 tahun itu, suntikan motivasi yang ditulis pada nota tersebut sedikit-sebanyak menjadi perangsang untuk Hijau Kuning bekerja keras lagi pada sesi latihan.

"Bila ada penyokong menunjukkan tanda sokongan dengan pelbagai cara rasa sangat bermotivasi sebab pagi-pagi dah tengok ada penyokong datang tampal nota.

Insya-ALLAH pada perlawanan akhir Piala FA Sabtu ini Kedah akan turun ke Shah Alam dengan misi untuk menang dan membawa balik piala ke Darul Aman," katanya kepada Sinar Harian.

Muhd Hanif berkata, beliau percaya motivasi pemain-pemain lain juga berada pada tahap terbaik hasil sokongan berterusan penyokong setia pasukan tersebut.

Sumber : Sinar Online

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com