Ahli Perniagaan, Penganggur Didakwa Edar Dadah


GEORGE TOWN – Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan mengedar pelbagai jenis dadah membabitkan 75.6 kilogram dadah, dua minggu lepas.

Penganggur Tan Swee Hin, 51, didakwa mengedar 13.9 kilogram dadah jenis heroin, 20 kilogram dadah jenis syabu dan 37.3 kilogram dadah jenis MDMA (3,4-metilindioksimefamfetamina) ) di Tingkat Paya Terubong 5, Taman Paya Terubong pada jam 10.30 pagi, 5 Mei lalu.

Seorang ahli perniagaan Tang Chin Tart, 52, didakwa mengedar 2.6 kilogram heroin dan 1.8 kilogram dadah jenis syabu di Lebuh Sungai Pinang 4 pada 10.15 malam, 8 Mei lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Amin Shahul Hamid.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 19 Julai depan untuk sebutan kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fatin Husin. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com