PRPTAR: Komitmen Kerajaan Untuk Kebajikan Pekerja


MELAKA – Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Tun Abdul Razak (PRPTAR) membuktikan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan pekerja di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata PRPTAR bernilai RM238 juta itu merupakan pusat integrasi rehabilitasi perubatan dan vokasional terunggul di Asia Tenggara serta yang terbaik di dunia.

“Tadi saya dibawa melawat ke pusat ini dan saya berasa kagum dengan kemudahan yang terdapat di pusat ini. Semua kemudahan rehabilitasi yang berkonsepkan perkhidmatan di bawah satu bumbung.

“Pusat ini melenyapkan gambaran palsu pihak tertentu bahawa Malaysia bankrap. Mana nak bankrap tuan-tuan kalau ada pusat rehabilitasi sebegini,” katanya ketika berucap merasmikan pusat itu di Bandar Hijau, Ayer Keroh, dekat sini, semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

PRPTAR dibina di tanah berkeluasan 22.3 hektar pada Okt 2014 itu menyediakan asrama bagi pencarum Perkeso yang sedang menjalani rawatan dan ia mampu menampung sehingga 350 pesakit pada satu-satu masa.

Najib berkata pusat ini berperanan penting memastikan seseorang yang cedera, sama ada pada waktu bekerja atau dalam perjalanan ke tempat kerja, masih mempunyai harapan untuk kembali bertugas.

Beliau berkata pusat berkenaan juga adalah satu hadiah kepada pekerja di Malaysia kerana mereka sentiasa mendapat perlindungan selain faedah lain seperti persaraan, Bantuan Rakyat 1Malaysia dan Klinik 1Malaysia.

Katanya, kerajaan juga akan menambah bantuan lain mengikut kemampuan semasa dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan pekerja terus diperlihara.

Sementara itu, Najib berkata rakyat di negara ini digalakkan menjaga kesihatan mereka di peringkat awal sebagai langkah pencegahan bagi sebarang penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan hipertensi.

“Tadi semasa saya di dalam kapal terbang untuk ke Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka saya terbaca di surat khabar bahawa rakyat negara ini obesiti, tinggi kolestrol, hipertensi, kencing manis sehingga potong kaki.

“Jadi saya nasihatkan agar kita menjaga kesihatan bagi mengurangkan jumlah pesakit di pusat ini sekali gus melahirkan pekerja yang lebih produktif,” katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com