"Perlu Bangkit, Tunjuk Kemampuan Sebenar" - TCH


ALOR SETAR - Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe mengharapkan agar skuad Helang Merah tidak terlalu memikirkan kekalahan besar di Terengganu tempohari, sebaliknya terus melihat ke hadapan dengan memberi fokus pada perlawanan kedua suku akhir saingan Piala FA, Jumaat ini.

Tegas Cheng Hoe, semua pemain Kedah perlu bangkit dari terus dibayangi insiden kekalahan kepada pasukan T-Team itu dan melakar kemenangan bertemu pasukan PNKP FC di Stadium Perak di Ipoh nanti.

"Saya harap pemain tidak lagi berfikir mengenai kekalahan itu dan memberi perhatian terhadap saingan Piala FA pada minggu ini.

"Mereka perlu bangkit dan menunjukkan kemampuan sebenar dengan membawa pulang kejayaan dari Ipoh pada Jumaat ini," kata Cheng Hoe yang tidak pernah jemu membakar semangat juang anak-anak buahnya itu.

Kekalahan 5-0 skuad Hijau Kuning pada Sabtu lalu yang mengakhiri rekod tanpa kalah pasukan kebanggaan negeri Kedah itu turut memberi kesan kepada skuad Kedah, khususnya selepas Rizal Ghazali dilayangkan kad merah.

Tekanan di atas padang tersebut dilihat telah menyebabkan para pemain hilang tumpuan dan menyebabkan gawang gol Kedah bolos 5 kali tanpa jaringan balas, apatah lagi Helang Merah turun tanpa tonggak utama, Liridon Krasniqi yang cedera dan Ken Ilso Larsen yang tidak dapat bermain akibat menerima 3 kad kuning sebelumnya.

Mengulas mengenai insiden berkenaan Cheng Hoe menjelaskan bahawa Sandro juga pada hari perlawanan bergelut dengan masalah kesihatan kerana baru sembuh dari demam panas, sehari sebelum perlawanan berlangsung.

Namun begitu katanya, pemain kelahiran Brazil itu masih tetap berusaha memberikan yang terbaik buat Kedah pada malam itu.

Namun begitu kata beliau, perlawanan tersebut telah berlalu dan setiap pemain perlu mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku dan perlu bangkit semula kerana peluang untuk meraih kejayaan masih lagi cerah.

"Apa yang berlaku memang mengecewakan semua, termasuk pemain. Tapi semuanya sudah pun berlalu. Pemain perlu menjadikan ia sebagai pengajaran untuk perlawanan seterusnya.

"Saya harap kekalahan itu akan membuatkan pemain lebih kuat dari segi mental dan fizikal untuk menghadapi saingan Piala FA di Ipoh pada Jumaat ini," katanya memetik laporan mStar.

Kekalahan Kedah kepada T-Team turut memberi kesan terhadap puluhan ribu peminat Hijau Kuning di seluruh negara, namun begitu mereka tetap redha menerima asam garam pertandingan bola sepak dan bertekad akan terus memberi sokongan tidak berbelah bagi bagi skuad kesayangan ramai itu.

Meskipun memberikan komen nakal terhadap pengadil perlawanan menentang T-Team tempohari, namun mereka senada mahu melihat Helang Merah kembali membelah angkasa menawan puncak Liga Super musim ini. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com