Kajian Kebolehlaksanaan Lapangan Terbang Kulim Siap Dalam Beberapa Bulan Lagi


KAJANG – Kementerian Pengangkutan dan pihak berkuasa berkaitan sedang menjalankan kajian kebolehlaksanaan cadangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim yang akan disiapkan dalam tempoh beberapa bulan akan datang, kata Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Wira Othman Aziz.

Menurut Othman, cadangan pembinaan lapangan terbang itu akan membantu menampung peningkatan kedatangan pelancong di kawasan utara, yang sekarang ini ditangani oleh Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

“Kami perlukan sebuah lapangan terbang yang baharu di wilayah utara, dan kami sedang menimbangkan cadangan untuk membinanya di Kulim, tetapi keputusan hanya akan dibuat selepas kajian ini selesai,” katanya selepas melancarkan Laporan Pasaran Hartanah 2016 di sini semalam.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Penilaian dan Harta Dr Rahah Ismail.

Sementara itu, ketika bercakap mengenai pembangunan Forest City di Johor Bahru, pemaju terbabit tidak akan ditawarkan tambahan insentif untuk menyiapkan projek tersebut.

“Kami tidak boleh lagi terus menawarkan insentif sehingga kepada keadaan yang sendiri tidak mampu. Kami tidak boleh mewujudkan dasar-dasar yang akan menyebabkan kerugian kepada negara,” katanya. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com