"Sakura Utara" Kembali Indahkan Landskap Darul Aman


ALOR SETAR - Bandar raya Alor Setar kini dipenuhi dengan bunga tekoma atau leih dikenali  sebagai bunga ''sakura utara" telah mulai mekar serta luruh memenuhi ruang jalan raya di sekitar bandar-bandar di Kedah.

Bunganya yang lebat dan mekar membuatkan orang ramai seolah-olah berada di musim bunga sakura di Jepun.

Fenomena setahun sekali itu, yang menyaksikan pokok Tekoma atau nama saintifiknya Tabebuia Rosea mekar dalam masa  dua minggu, nyata mengagumkan orang ramai dan pelancong di bandar raya ini.

Pokok yang asalnya dari negara Amerika Selatan ini boleh mengeluarkan lima jenis warna iaitu putih, kuning, perak, merah dan merah jambu itu ternyata memukau permandangan sesiapa yang melihatnya.


Fenomena musim bunga sakura ini kebiasaannya berlaku selepas sesuatu negara dilanda musim kemarau atau kering yang panjang.

Paling tidak, lebih kurang 300 pokok tekoma telah ditanam di jalan utama sekitar bandaraya Alor Setar sejak 15 tahun lalu dan mengambil masa empat ke lima tahun untuk mengeluarkan bunga.

Musim bunga ini sememangnya dinantikan peminat seni fotografi selain masyarakat setempat yang turut mengambil peluang untuk merakamkan gambar sebagai kenangan.

Walaupun ia hanya berlaku untuk suatu tempoh singkat, tetapi ia memberikan 1,001 kenangan kepada penduduk setempat merasai musim bunga seperti di negara luar.


Terdahulu, Kerajaan Kedah komited merealisasikan hasrat membina taman sakura pertama di Malaysia berikutan bunganya yang cantik dan lebat mendapat sambutan masyarakat setempat.

Diharapkan, pihak yang berkaitan dapat mencari kaedah terbaik bagi menambah bilangan pokok tekoma dikawasan sekitar negeri Kedah terutama jalan utama dan tempat-tempat reakreasi tertentu agar dapat menarik minat pelancong ke negeri ini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com