Bertemu PKNP FC Bukan Laluan Mudah Bagi Kedah - Tan Cheng Hoe


ALOR SETAR - Pertemuan di peringkat suku akhir Piala FA menentang PKNP FC tidak dianggap sebagai laluan mudah bagi skuad Kedah dan tidak wajar dipandang remeh oleh setiap pemain pasukan itu, kata Ketua Jurulatih Helang Merah, Tan Cheng Hoe.

Meski pun dianggap sebagai salah sebuah pasukan "favourite" yang mampu menjulang Piala FA musim ini, Cheng Hoe mengingatkan semua anak buahnya supaya sentiasa berwaspada dan mempertingkat prestasi masing-masing bagi mengharungi setiap perlawanan.

"Kita tidak mahu berasa selesa dengan rekod lalu termasuk menewaskan Perak kerana kita perlu terus memandang ke hadapan dan bersedia mengharungi cabaran seterusnya.

"Jadi, kita perlu sentiasa meningkatkan mutu permainan ke tahap lebih baik bagi memastikan kita berjaya ke final Piala FA musim ini," katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar arus perdana, semalam.

Ramai peminat bola sepak tanah air sebelum ini beranggapan skuad Hijau Kuning boleh menarik nafas lega selepas diundi bertemu dengan satu-satunya pasukan bertaraf kelab yang masih mampu bertahan dalam saingan Piala FA.

Mengulas lanjut, Ketua Jurulatih Kedah yang bertanggungjawab membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Darul Aman pada musim lalu itu turut memberi galakan kepada semua skuad Hijau Kuning untuk terus konsisten mempersembahkan permainan terbaik.

Kata beliau, perjalanan Kedah untuk mengharungi musim ini masih panjang dan pelbagai liku harus ditempuhi bagi mengejar matlamat pasukan dalam memburu beberapa kejuaraan musim ini.

Tegas Cheng Hoe kepada Kedahnews.com sebelum ini, sudah tentu banyak pasukan yang menaruh harapan untuk menewaskan Helang Merah khususnya selepas pasukan kebanggaan anak-anak Kedah itu berstatus penyandang Juara Piala Malaysia.

Dalam pada itu, pengendali utama skuad Kedah itu turut memuji komitmen dan disiplin para pemain serta mengharapkan mereka terus kental bersemangat dan mengekalkan momentum dari kemenangan yang diraih sebelum ini.

Sehingga kini, Kedah berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah bagi 8 perlawanan berturut-turut membabitkan 7 perlawanan Liga Super dan 1 perlawanan Piala FA menentang Perak baru-baru ini. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com