AddThis

Tragis... Muka Budak Hampir "Hancur" Diserang Beruang

GUA MUSANG – Seorang kanak-kanak Orang Asli berusia sembilan tahun nyaris maut selepas diserang beruang ketika sedang mencari kayu gaharu bersama bapanya di sini petang Selasa lalu.

Dalam kejadian di kawasan hutan Aring 8 kira-kira jam 3 petang itu, Dee Usop cedera parah di bahagian muka selepas dicakar beruang sementara bapanya, Usop Ching, 39, mengalami cedera di bahagian belakang badan.

Kedua-dua mangsa yang tinggal di Kampung Aring 5 itu terpaksa berjalan kaki hampir satu jam dalam keadaan berlumuran darah sebelum diselamatkan seorang pekerja ladang swasta yang kebetulan berada di tepi Jalan Gua Musang-Kuala Berang.

Berita Harian melaporkan, lelaki yang membantu dua beranak itu dikenali sebagai Fan, 41, berkata, menemui mangsa kira-kira jam 4 petang dalam keadaan berlumuran darah dan letih.

Menurutnya, bapa kanak-kanak tersebut memaklumkan mereka masuk ke dalam hutan pada jam 12 tengah hari untuk mencari kayu gaharu dan tidak menyedari kehadiran beruang berkenaan.

“Saya takut melihat kecederaan mangsa yang koyak di bahagian muka akibat dicakar beruang itu,” katanya yang dipetik dari Berita Harian.

Dia yang turut bekerja tidak jauh di kawasan hutan berkata tidak pernah terserempak dengan beruang terbabit sebelum ini.

Kedua-dua mangsa dibawa ke klinik kesihatan Airing, Gua Musang bagi mendapatkan rawatan. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com