TM Dakwa Rugi RM50 Setahun Sebab Kabel Dicuri


PANGKOR - Telekom Malaysia Berhad (TM) terpaksa menanggung kerugian kira-kira RM50 juta setahun akibat kecurian kabel telekomunikasi, kata Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Beliau berkata kabel yang sering menjadi sasaran oleh pihak tidak bertanggungjawab itu adalah kabel yang diperbuat daripada tembaga yang digunakan untuk perkhidmatan Streamyx.

"Perkhidmatan Streamyx yang menggunakan kabel tembaga itu boleh didapati di stesen minyak dan kedai-kedai, jadi jika kabel itu putus, ia akibat dicuri. Maka hubungan telekomunikasi serta jalur lebar juga turut terputus.

"Tapi pengguna yang tidak tahu hal ini, mereka akan merungut kata tidak ada perkhidmatan sedangkan ia telah dicuri," katanya.

Untuk pemasangan semula juga memakan masa yang lama dan kos yang tinggi," katanya kepada pemberita di Majlis Perasmian Pemberian Nombor Premis Pulau Pangkor, di sini, Jumaat.

Justeru, beliau amat mengalu-alukan cadangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang meminta agar semua pihak bekerjasama dalam memerangi kegiatan kecurian kabel bagi mengelakkan kadar penembusan jalur lebar terus menurun.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Halim berkata penduduk di Pulau Pangkor bakal menikmati perkhidmatan jalur lebar mudah alih generasi baharu 4G, Evolusi Jangka Panjang (LTE) tidak lama lagi.

Beliau berkata ini kerana pemasangan kabel gentian optik sepanjang sembilan kilometer dari Lumut ke Pasir Bogak, Pulau Pangkor, dijangka siap pada hujung tahun ini.

"Projek ini telah dimulakan kira-kira awal tahun ini dan mengambil masa yang agak lama untuk siap berikutan kabel gentian optik ini bukan dipasang di atas jalan tapi di dasar laut," katanya.

Menurutnya, apabila siap pemasangan kabel gentian optik itu, ia bukan sahaja dapat menambah kelajuan talian tetap malah perkhidmatan selular turut dipertingkatkan. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com