Tiada Pihak Mohon Maaf, Anak Mangsa Maut Terkilan


MANJUNG – Anak kepada mangsa maut dilanggar tayar lori yang tercabut dan melantun di Ayer Tawar di sini, Jumaat lalu terkilan apabila tiada pihak yang bertanggungjawab tampil berjumpa keluarganya.

Ma’azan Mahamad Ajmi, 30, anak sulung kepada Mariaty Bakar, 58, berkata keluarganya masih belum menerima sebarang panggilan atau surat permohonan maaf daripada pemandu atau syarikat lori terbabit.

“Saya berasa terkilan dan geram kerana pemandu dan syarikat lori itu bersikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab terhadap kematian ibu saya.

“Tiada langsung yang tampil memohon maaf kepada keluarga kami terutama ayah yang kini dalam keadaan sedih sehingga mengganggu kesihatannya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Ma’azan berkata selepas kematian ibu, kesihatan ayahnya, Mahamad Ajmi Ahmad, 64, kian merosot sehingga dia pernah dilihat hampir pengsan.

“Saya tahu ayah tidak tenang selagi pemandu atau syarikat lori itu tidak tampil memohon maaf sehingga dia sendiri mahu mencari mereka di beberapa kawasan.

“Namun, setakat ini saya berjaya menenteramkan dia dan saya berpendapat jika pemandu lori tersebut tampil memohon maaf, semangat ayah saya akan kembali pulih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Manjung, ACP Tengku Mohd Zailan Tengku Ahmad Shah berkata pihaknya masih belum menerima maklumat mengenai pemandu lori yang terlibat dalam kejadian itu.

“Pemandu dan syarikat lori yang terlibat perlu melaporkan diri di balai polis terdekat dan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu juga diminta menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang Jumaat lepas, Mariaty maut selepas dilanggar sebiji tayar seberat 150 kilogram (berat bersama rim) yang tercabut dan melantun daripada sebuah lori di hadapan rumahnya di Kampung Bakar Bata di Ayer Tawar.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com