Tiada Larangan Terima Organ, Darah Golongan Bukan Islam - Mufti

KUALA LUMPUR - Tidak ada larangan untuk memindahkan organ seseorang yang bukan beragama Islam kepada tubuh seseorang yang beragama Islam, kata Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri.

Katanya, ini kerana anggota seseorang itu tidak bersifat dengan Islam atau kufur sebaliknya hanya alat yang digunakan oleh manusia untuk melaksanakan tuntutan akidah dan manhajnya dalam kehidupan.

"Apabila sesuatu bahagian anggota berpindah daripada seorang non-Muslim (bukan Islam) kepada seorang Muslim, maka anggota tersebut menjadi sebahagian daripada tubuh badan Muslim tersebut.

"Seterusnya, anggota tersebut digunakan untuk menunaikan tanggungjawabnya, seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT," katanya menerusi catatan di laman Facebooknya, Ahad.

Berkenaan dengan persoalan sama ada pendermaan darah dari seseorang bukan Islam yang mungkin memakan makanan tidak halal seperti khinzir, Dr Zulkifli menyatakan bahawa hukumnya ialah 'dibolehkan' kerana ia adalah darah dan bukan lagi zat khinzir atau 'ain' khinzir secara total.

Justeru, katanya tidak menjadi kesalahan untuk menderma darah walaupun seseorang bukan Islam itu memakan makanan seperti khinzir.

Beliau turut menyarankan agar penderma darah diberi penghargaan dan sedikit keistimewaan agar kempen derma darah dapat disemarakkan di samping bekalan darah negara sentiasa mencukupi bahkan melebihi keperluan.

Di akhir catatan itu, Dr Zulkifli turut berkongsi semula keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Keempat yang bersidang pada 13 dan 14 April 1982 yang telah membincangkan derma darah dan penggunaan darah orang Islam kepada orang bukan Islam dan sebaliknya.

Katanya, Muzakarah itu telah memutuskan bahawa hukum menderma darah adalah harus dan tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com