Tak Perlu Sebulan, PAS "Tutup Pintu" Pada PPBM, PKR


ALOR SETAR - PAS menegaskan bahawa parti Islam itu tidak perlu menunggu tempoh sebulan untuk menjawab kata dua dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk memberi keputusan sama ada menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan atau tidak.

Sebaliknya Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa PAS tidak akan sesekali menjalin kerjasama dengan PPBM selagi parti baru itu terus bersekongkol dengan DAP dan Parti Amanah Negara (PAN).

Justeru itu, Abdul Hadi menegaskan kepada Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa PAS tidak akan bekerjasama dengan PPBM, sekaligus menutup pintu rundingan dengan parti berkenaan.

"Kami mempunyai pendirian yang mudah sekali, iaitu tidak akan bekerjasama dengan parti yang ada hubungan dengan DAP dan PAN.

"Kami telah buat keputusan untuk tidak bekerjasama, juga dengan rakan mereka. Jadi tidak perlu tunggu sehingga sebulan kerana apabila mereka bersama PAN dan DAP, jadi semuanya sudah berakhir," katanya ketika menghadiri majlis di Ampang, semalam.

Tegas Presiden PAS itu, PAS sebelum ini berkali-kali menegaskan secara jelas bahawa pihaknya tidak akan bekerjasama dengan pihak yang bersekongkol dengan dua musuh utama yang memporak-peranda dan menyerang PAS selama ini.

Katanya, keputusan tersebut bukan saja membabitkan PPBM, malah turut melibatkan hubungan PAS dengan PKR yang dianggap sudah tamat.

"Malah untuk PKR juga, kami akan membuat keputusan segera. Sebenarnya kami terbuka kepada semua dan hanya melibatkan politik saya tidak kisah, tetapi kedua pihak ini (DAP dan PAN) menumpukan RUU 355 yang tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi turut menegaskan bahawa PAS juga menolak untuk mengadakan pertemuan lanjut dengan PPBM selepas ini bagi membincangkan isu kerjasama selagi parti itu terus bersekongkol dengan DAP dan PAN.

Presiden PAS itu dilapor berkata demikian susulan kenyataan Mahathir sebelum ini yang memberikan tempoh sebulan untuk PAS memutuskan sama mahu bersama Pakatan Harapan, gabungan pembangkang yang diwujudkan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pada Sabtu lalu, Mahathir memberi kata dua kepada PAS supaya membuat keputusan dalam tempoh sebulan sama ada mahu menyertai kerjasama dengan Pakatan Harapan. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com