Status Rizal Ghazali Diputuskan Minggu Depan - FAM


PETALING JAYA - Masa depan tonggak pertahanan Kedah, Mohd Rizal Ghazali hanya ditentukan seawal minggu depan apabila Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka bermesyuarat bagi menyelesaikan kemelut perebutan antara juara Piala Malaysia 2016 itu dengan Felda United.

Timbalan Pengerusi jawatankuasa terbabit, Abdul Aziz Yeop Jamaluddin berkata, pihaknya sudah pun menerima afidavit daripada kedua-dua pihak dan sekarang hanya menunggu penetapan tarikh untuk bersidang.

"Kita dah terima afidavit Kedah dan juga Felda United, cuma sekarang kita diperingkat untuk tentukan tarikh mesyuarat.

"Saya jangkakan minggu depan. Saya tak boleh tetapkan tarikh sekarang kerana kena dapat maklum balas daripada jawatankuasa terlebih dahulu.

"Mungkin anda boleh hubungi saya semula Selasa depan untuk dapatkan tarikh tersebut," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Ditanya sama ada keputusan mengenai nasib Rizal akan ditentukan selepas mesyuarat jawatankuasa itu, Abdul Aziz berkata, jika segala dokumen lengkap, keputusan akan diumumkan dalam mesyuarat tersebut.

"Kita akan panggil semua pihak terlibat iaitu pemain dan wakil dua persatuan ini. Selalunya, kalau semua lengkap, kita akan bagi keputusan terus.

"Sebab itu kita minta afidavit terus supaya mereka dapat kemukakan bukti sama ada nak tuduh sesiapa atau untuk tujuan mempertahankan diri," katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Felda United Zulkarnain Muhammad mengesahkan skuad tersebut telah menyerahkan afidavit yang diminta jawatankuasa tersebut pada Khamis.

"Kita dah hantar afidavit iaitu keterangan dan bukti-bukti yang diminta FAM semalam (Khamis). Kita tetap dengan pendirian, Rizal hak Felda United.

"Kita berharap agar kemelut ini dapat diselesaikan dengan segera," katanya.

Isu perebutan antara Felda United dan Kedah terhadap Rizal timbul selepas pemain berusia 24 tahun itu didakwa memiliki dua kontrak.

Rizal didakwa membuat pusingan U dengan melanjutkan kontrak setahun bersama skuad Helang Merah meskipun sudah mencapai persetujuan hitam putih untuk menyertai skuad bimbingan Azmi Mohamed.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com