Staf Sokongan DBKL Banyak Berhutang, Kementerian Wilayah Niat Bantu


KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata ramai kakitangan sokongan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dibebani dengan masalah hutang.

Oleh itu Kementerian Wilayah Persekutuan berhasrat untuk membantu mereka mengatasi masalah tersebut, katanya.

"Ini termasuk membantu mereka melanjutkan tempoh pembayaran dan mengurangkan kadar faedah pembayaran bulanan mereka. Kami turut mencadangkan kepada DBKL untuk membantu mereka menyelesaikan hutang-hutang mereka terlebih dahulu dan membuat potongan gaji mereka kemudiannya.

"Namun mekanisme itu masih dalam kajian dan belum diputuskan lagi," katanya kepada pemberita pada Majlis Perhimpunan Bulanan DBKL di sini pada Isnin.

Beliau berkata akibat berhutang, terdapat kakitangan sokongan yang gaji bulanannya mereka hanya tinggal RM50 setelah ditolak hutang yang perlu mereka langsai.

Kakitangan golongan itu merupakan antara lebih 1,200 kakitangan DBKL yang mempunyai kadar hutang bulanan yang tinggi, kata Tengku Adnan.

"Sehinggakan gaji bersih bulanan pun tingggal terlalu sedikit dan tidak mampu menampung kehidupan bulanan mereka.

"Terdapat juga kakitangan sokongan yang dikesan menipu dan mengubah suai slip gaji mereka bagi mendapatkan kelayakan pinjaman yang tinggi. Ada yang membuat pinjaman yang banyak, hampir menyamai kadar pendapatan bulanan mereka, tambahnya. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com