SPAD Tidak Punya Kuasa Undang-Undang Kekang Teksi Motosikal


KAMPAR – Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) tidak mempunyai kuasa untuk mengekang perkhidmatan teksi motosikal kerana tidak diperuntukkan oleh undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar meminta agar isu perkhidmatan teksi motosikal ini dibincangkan dalam sidang parlimen akan datang.

“Motosikal tidak termasuk dalam senarai pengangkutan awam yang membawa penumpang bagi tujuan meraih pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran pembinaan Kompleks Terminal Pengangkutan Bersepadu Kampar di sini semalam.

Pada masa sama, Syed Hamid mengingatkan pengusaha teksi motosikal berkenaan agar bersedia menghadapi tindakan undang-undang kerana beroperasi tanpa lesen.

Syed Hamid diminta mengulas mengenai teksi motosikal Dego Ride yang semakin popular dalam kalangan warga kota sebagai pengangkutan awam alternatif yang murah dan pantas, terutama dalam menangani masalah kesesakan di ibu negara.

Semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran kepada syarikat perkhidmatan ‘Dego Ride’ agar tidak mencabar undang-undang negara setelah diarahkan menghentikan perkhidmatan tersebut atas faktor keselamatan.

Liow berkata perkhidmatan Dego Ride menyalahi Seksyen 23 Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan Seksyen 16 dan 47 Akta SPAD yang pengusaha syarikat tersebut boleh dihadapkan ke mahkamah. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com