Siti, Datuk K Berangkat Ziarah Masjid Al-Aqsa Pada Rabu Ini


PETALING JAYA - Hasrat Datuk Siti Nurhaliza, 38, menziarahi Masjid Al-Aqsa di Palestin bakal menjadi kenyataan apabila beliau akan berkunjung ke negara itu, Rabu ini.

Siti berkata, beliau ditemani suami, Datuk Seri Khalid Muhd Jiwa dan keluarga mentua pada kunjungan itu.

"Sudah lama Siti menyimpan hasrat menziarahi masjid Al-Aqsa yang menjadi kiblat pertama umat Islam.

"Selepas beberapa kali mengunjungi Makkah dan Madinah, impian Siti untuk mengunjungi masjid berkenaan menjadi kenyataan apabila keluarga angkat Siti mengajak kami ke sana," katanya.

Siti ditemui pada majlis pengumuman pelantikannya sebagai Duta Visionbody di The Club, Bandar Utama, di sini, semalam.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Biarlah Rahsia itu menafikan pemergiannya adalah untuk mengikuti misi kemanusiaan.

"Saya ke Palestin untuk bercuti dan menziarah, bukannya mengikuti misi kemanusiaan anjuran mana-mana pihak seperti yang dilakukan beberapa artis," katanya.

Siti dijangka pulang ke tanah air pada 23 Februari ini.

Sumber: Berita Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com