“Seronok Dapat Salam, Cium Tangan Perdana Menteri..."


ALOR SETAR - “Seronok dapat bersalam dan mencium tangan Perdana Menteri. Memang saya tak terfikir dapat bertemu dan melihat beliau secara langsung,” demikian kata-kata seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU), Muhammad Ariffin Zulkifli.

Luahan rasa gembira itu dilontarkan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Nyiur Chabang, Langkawi itu diluahkan ketika menerima sumbangan daripada Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) ketika program Gen Y yang dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak beserta isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Dataran Menara Alor Setar kelmarin.

Muhammad Ariffin yang dilahirkan tanpa memiliki kaki kanan adalah antara 16 penerima sumbangan barangan dan wang tunai daripada BAKTI yang disampaikan oleh Perdana Menteri dan isteri merangkap Yang Dipertua BAKTI.

Ujar bapa kepada Muhammad Ariffin,  Zulkifli Halim, 53, anaknya itu amat memerlukan kaki palsu dan berharap ada pihak yang sudi membantu mereka.

“Anak saya mendapat bantuan kaki palsu tahun lalu, namun sekarang sudah tidak muat lagi. Ini menyebabkan dia terpaksa memakai tongkat dan pergerakannya sedikit terbatas," ujar Zulkifli.

Malah, katanya, rawatan yang perlu diterima anaknya itu terhenti sejak Ogos lalu kerana tidak berkemampuan.

“Sepatutnya, setiap enam bulan sekali saya perlu membawanya ke HUKM (Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia) untuk rawatan pakar, namun terhenti sejak Ogos lalu kerana tidak mampu,” katanya lagi. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com