AddThis

Sambutan Meriah Gen-Y Pada PM Tepis Persepsi Negatif


ALOR SETAR - Sambutan meriah anak muda Kedah terhadap kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Dataran Menara Alor Setar hari ini membuktikan persepsi negetif yang ditohmah di laman sosial sebelum ini jelas meleset.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, beliau sendiri kagum dengan sambutan golongan muda tersebut dan kemeriahan suasana yang terpamer di depan matanya memberi gambaran keyakinan golongan tersebut kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) di Kedah.

"Saya amat teruja melihat sambutan yang dibuat oleh golongan Gen-Y atas kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Menteri Besar dan isteri mereka.

"Ia langsung tidak mencerminkan dakwaan sebelum ini khususnya di media sosial yang kononnya sokongan generasi muda kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Barisan Nasional (BN).. dakwaan itu meleset sama sekali," kata Suraya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.

Suraya ditemui Kedahnews.com ketika hadir memeriahkan program Gen-Y Bersama Perdana Menteri di Dataran Alor Setar yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan kepimpinan BN dari seluruh negara.

Exco Kerajaan Negeri itu juga memuji golongan muda yang memperlihatkan keikhlasan mereka menyambut kehadiran Perdana Menteri di program berkenaan dan beliau sendiri terkejut dengan kemeriahan yang terpamer di depan mata.

"Boleh disaksikan hari ini semua mereka yang hadir hari ini memperlihatkan kesungguhan untuk terus bersama kepimpinan Perdana Menteri dalam keseluruhan program yang disusun bersama Gen-Y di Kedah ini," katanya lagi.

Namun begitu kata Suraya, mereka yang sudah tegar dan enggan menerima serta mengakui hakikat akan tetap terus dengan persepsi negatif yang telah ditanam oleh pihak tertentu terhadap Perdana Menteri.

Katanya, doktrin kebencian yang telah ditanam melalui pengaruh politik itu agak sukar untuk dikikis melainkan mereka sedar tentang muslihat dan propaganda berbaur politik hasutan yang dimainkan pihak terbabit.

"Kita harap mereka dapat berubah dari persepsi berkenaan. Namun pada masa yang sama kita sedar bahawa mereka yang sudah sebati dengan persepsi negatif itu akan terus dengan persepsi negatif tersebut.

"Kita harap mereka yang bijak, mereka yang boleh menilai, mereka akan lihat sendiri sokongan yang diberikan kepada Perdana Menteri dan BN," ujar Ketua Wanita UMNO Pendang itu lagi.

Mengulas mengenai pengumuman Mohd Najib berhubung litar lumba bernilai RM30 juta yang diluluskan untuk golongan muda di Kedah, Suraya menegaskan ia membuktikan bahawa BN sememangnya menepati janji yang dibuat sebelum ini.

"Terbukti Perdana Menteri menepati janji, peruntukan itu datang dari beliau dan beliau tidak pernah tarik balik pun peruntukan tersebut.

"Kerajaan Negeri telah selesaikan isu tanah untuk tapak litar tersebut dan hanya menanti masa yang sesuai untuk menjayakan janji kepada anak muda di Kedah ini," ujarnya.

Mohd Najib sebelum itu mengumumkan kepada kira-kira 10,000 generasi muda dan rakyat Kedah yang hadir memeriahkan program Gen-Y Bersama Perdana Menteri di Dataran Alor Setar di sini, pagi tadi. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com