Rumah Tak Selamat, Pemaju Lepas Tangan Di Baling

Sebuah bilik terjejas akibat runtuhan tebing berkenaan.
ALOR SETAR - Laporan polis telah dibuat seorang penduduk terhadap sebuah syarikat pemaju perumahan yang mendakwa pembinaan rumah tersebut tidak selamat untuk diduduki dan dikhuatiri boleh mengancam keselamatan penduduk di Lorong 1 Fasa 3 Taman Harmoni, Baling.

Dikatakan, tebing rumah yang dibina itu tidak menepati piawaian kelulusan projek perumahan kerana tebing tersebut runtuh dan mengenai sebuah rumah penduduk yang terdapat disitu.

“Kita curiga dengan sijil layak menduduki taman ini, seolah-olah ada sesuatu tak kena. Nak diikutkan ciri-ciri tebing itu tak ikut syarat kelulusan," jelas seorang penduduk, Zikriyuddin Ahmad, 39.

“Tebing itu dibina terlalu hampir dengan bahagian belakang rumah dan terlalu curam. Bagaimana sijil layak menduduki itu diluluskan?" katanya lagi.

Mangsa rumah rosak ditimpa tebing, Mohamad Azhar Sirat, 50, menggesa pihak pemaju dan Majlis Daerah Baling (MDB) mengambil tindakan dengan segera sebelum kejadian yang sama berulang.

“Rumah saya terlalu hampir dengan kawasan tebing runtuh. Risau benda sama berulang sebab tebing ni terlalu nipis dan curam 90 darjah. Sepatutnya tak boleh curam macam ni," ujar mangsa.

"Saya harap keseluruhan bahagian tebing itu dibaiki segera kerana berisiko untuk runtuh sekali lagi,” tegasnya.

Meskipun kejadian runtuhan tebing itu tidak melibatkan kemalangan jiwa namun lebih sebahagian rumahnya rosak teruk terutama di bahagian bilik dan ruang tamu serta menuntut pihak pemaju membayar ganti rugi diatas apa yang berlaku.

“Alhamdulillah, kejadian ni tak libatkan kemalangan jiwa sebab tak ada sesiapa di rumah waktu tu. Tapi runtuhan tu menjejaskan dua pertiga daripada kediaman saya.

“Saya menuntut pemaju membayar ganti rugi dan menjalankan segera kerja-kerja pembersihan runtuhan,” tegasnya lagi.

Sementara itu, seorang penduduk, Azani Abidin, 35, berkata tebing itu berpontensi runtuh sekali lagi terutama jika hujan kerana binaannya yang tidak kukuh dan dikhuatiri boleh menghempap 10 buah rumah yang berada berhampiran tebing. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com