#PRU14: Mukhriz Dijangka Bertanding Di Parlimen Jerlun, Kuasai Dun Ayer Hitam


ALOR SETAR - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dijangka bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (Dun) Ayer Hitam, sekaligus mengekalkan kerusi yang dimenanginya di atas tiket UMNO pada pilihan raya umum yang lalu.

Malah beliau turut dijangka akan meletakkan diri bertanding di Parlimen Jerlun pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti bagi memastikan peluang beliau untuk mengisi jawatan di peringkat Kerajaan Pusat sekiranya Pakatan Harapan yang diketuai DAP berjaya merampas kuasa nanti.

Desas-desus mengenai kawasan yang bakal ditandingi Mukhriz itu turut disokong apabila tersebarnya senarai butiran nama-nama Ketua Penaja Bahagian PPBM di media sosial baru-baru ini.

Menurut maklumat yang tersebar itu, Mukhriz telah dilantik menjadi Ketua Penaja Bahagian PPBM bagi P05 Parlimen Jerlun.

Selain itu, cakap-cakap politik di peringkat akar umbi turut menjangka anak bekas Perdana Menteri itu akan cuba menguasai keseluruhan Parlimen Jerlun sebagaimana Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hingga kini menguasai Parlimen Permatang Pauh.

Namun begitu, terdapat juga pandangan yang mengatakan bahawa Mukhriz lebih berminat untuk menjadi Ahli Parlimen ekoran keluarga beliau yang menetap di ibu negara dan tidak perlu untuk selalu berada di kawasan.

Jangkaan itu dibuat ekoran dakwaan yang mengatakan bekas Menteri Besar Kedah itu sering berulang-alik dari Kedah ke ibu negara pada setiap minggu ketika beliau menjawat jawatan Menteri Besar sebelum ini.

Sekiranya menang bertanding di Parlimen Jerlun dan Pakatan Harapan berjaya merampas kuasa dari BN pada PRU ke-14 nanti, Mukhriz dijangka bakal dilantik sebagai Menteri Kabinet Kanan di peringkat pusat.

Ia turut meninggalkan teka-teki tentang siapakah yang bakal terpilih menjadi Menteri Besar Kedah sekiranya Pakatan Harapan berjaya menguasai Kedah pada PRU ke-14 kelak. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com