Presiden FAM: TMJ Lawan Annuar Musa, KJ Tarik Diri


PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan telah menerima borang pengesahan pencalonan jawatan presiden badan induk bola sepak negara itu bagi penggal 2017 hingga 2021 daripada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, borang pengesahan Tunku Ismail telah diterima semasa pertemuan beliau dengan pemilik pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) itu beberapa hari lalu di Johor Bahru.

"Setelah pukul 5 petang, sebanyak dua calon telah sahkan hasrat untuk bertanding jawatan presiden manakala dua calon lagi telah menarik diri.

"Dua calon yang bertanding jawatan itu adalah Tunku Ismail dan Tan Sri Annuar Musa," katanya pada sidang media semasa mengumumkan calon akhir bertanding jawatan kerusi panas itu di Wisma FAM, petang Isnin.

Menurut Hamidin, dua lagi calon lain bagi jawatan itu iaitu Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat telah menarik diri daripada merebut kerusi panas itu.

"Dua lagi calon lain tarik diri. (YB) KJ patut jumpa saya hari ini (Isnin) tapi beliau hantar pegawai untuk serah borang (tolak pencalonan) kerana beliau ada tugasan lain.

"Tan Sri Aseh pun sudah maklumkan mengenai keputusan beliau (tarik diri)... saya jumpa beliau semalam (Ahad)," katanya.

Pada masa sama, Hamidin mendedahkan seramai empat calon turut mengesahkan bertanding jawatan timbalan presiden manakala sembilan calon lagi menerima pencalonan bagi merebut jawatan naib presiden.

Katanya, bagi jawatan exco, daripada 30 pencalonan yang diterima hanya 17 individu mengesahkan akan bertanding.

Sementara itu, bagi jawatan exco wanita, kesemua tujuh individu yang dicalonkan telah mengesahkan menerima pencalonan tersebut.

Jelas Hamidin, kesemua calon yang sudah mengesahkan pencalonan bagi jawatan masing-masing masih boleh menarik diri sebelum berlangsungnya Kongres Pemilihan FAM ke-53 pada 25 Mac ini.

Ditanya mengenai calon yang bertanding bagi jawatan lain, Hamidin enggan mendedahkan butiran secara terperinci mengenainya dan hanya akan mengumumkan senarai penuh calon tersebut pada mesyuarat Exco FAM, Isnin depan.

"Saya tak boleh dedahkan secara terperinci kerana senarai calon lain perlu dapat kelulusan exco. Kita akan umumkan selepas mesyuarat terakhir eksekutif FAM pada Isnin depan," katanya.

Beliau berkata kesemua calon yang menawarkan diri untuk bertanding pada pemilihan kongres akan datang membuktikan mereka sedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada peminat yang mahukan perubahan dalam bola sepak negara.

"Pada pandangan saya dengan adanya calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding menunjukkan lebih ramai pemimpin berminat untuk membawa bola sepak negara ke satu tahap yang lebih tinggi.

"Dan sudah tentu tugas berat menanti barisan exco baharu yang dipilih nanti," katanya.

Sumber: mStar

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com